Dec 18, 2009

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1431

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Daku ingin mengucapkan
SELAMAT MENYAMBUT
TAHUN BARU HIJRAH 1431
kepada umat Islam seluruhnya.

Nov 30, 2009

Selamat Hari Raya Qurban

SELAMAT HARI RAYA EIDUL ADHA
kepada seluruh muslimin dan muslimat.

Sep 11, 2009

Lailatul Qadr

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, selawat ke atas Rasulillah. Amma ba'du; sempena di penghujung Ramadhan ini daku menyeru diri ini dan kaum muslimin agar memperbanyakkan lagi amalan-amalan sunat di samping amalan-amalan fardhu yang semestinya dilakukan.

Kita sudah berada pada fasal terakhir di mana terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan lebih kurang 83 tahun perkiraan ganjarannya.

Oleh itu, janganlah kita leka dengan kesibukkan harian menyebabkan tiada kesempatan untuk beramal di malam harinya. Amat rugilah jika kita terlepas malam yang dijanjikan 1000 rahmat itu.

Jika dibuat perbandingan dengan anugerah RM1000 akan diberikan kepada sesiapa saja yang datang ke masjid pada malam terakhir, nescaya berpusu-pusu mereka ke sana kerna nampak akan habuan yang bakal diberi.

Namun ganjaran 1000 bulan yang dihebahkan dan al-Quran amat jarang sekali yang meminatinya.

Ya Allah, kuatkanlah iman kami untuk terus beribadat kepada-Mu serta mendapat apa yang telah Engkau janjikan pada 10 malam terakhir ini. Ameen...

Sep 5, 2009

1 saat mengingat Allah


Bagaimana mengingati Allah dengan sesaat?

Caranya sangat mudah...

Sebutlah sekarang;


Subhanallah...
Alhamdulillah...
Allahu Akbar...


Kita pasti mampu melakukannya.

Ingatlah Allah walau sesaat.

Sep 2, 2009

Aug 13, 2009

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN EL-MUBARAK

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selawat dan salam ke atas rasulillah 'alaihis solatu wassalam. Amma ba'du;

Syukur alhamdulillah dan maaf dipinta dari para pengunjung kerana agak lama pengendali tidak kemas kini blog ini.

Sempena menanti kehadiran bulan el-Mubarak menjelang tiba sekitar 8 hari saja lagi, marilah sama-sama kita menyatakan rasa kegembiraan yang tak terhingga bagai rindunya seorang isteri menunggu kepulangan suami yang kian lama di perantauan. Bagai rindunya seorang kekasih.

Bulan Ramadhan adalah khusus dijadikan untuk umat nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam yang mana tidak diberikan kepada umat-umat terdahulu. Maka sayugia kita melahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan anugerah teragong ini.

Teringat daku tatkala di kampung waktu kanak-kanak, kebanyakan jiran keluar ke pasar untuk membeli kain pelikat, kopiah, sejadah, telekung yang baru termasuk naskah al-Quran bukannya untuk menyambut raya tapi untuk bersiap sedia menyambut dan melaksanakan ibadat di bulan Ramadhan. Tidak ketinggalan daku ni...

Apa pun itulah kesungguhan masyarakat waktu itu menyambut kehadiran Ramadhan. Marilah kita sama-sama menyambut Ramadhan dengan memperbanyakkan amalan sunat di samping amalan fardhu. Wallahu a'alam.

Jul 24, 2009

Antara cabaran, halangan hukuman sebat kes syariah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Berita Harian

PELAKSANAAN hukuman sebat syariah sering kali menimbulkan polemik dalam masyarakat di negara kita. Polemik ini terhasil kerana tidak faham mengenai pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat mengikut undang-undang syariah. Tidak keterlaluan jika dikatakan sebat syariah ini sering kali disamakan dengan sebat undang-undang jenayah sivil.

Mungkin juga kerana istilah digunakan terlalu menggerunkan, iaitu sebat. Namun hakikatnya hukuman sebat syariah ini hampir tidak dilaksanakan melainkan di Kelantan. Apakah benar hukuman sebat syariah ini tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

Kesalahan jenayah syariah yang membawa kepada hukuman sebat berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Banyak negeri tidak memakai undang-undang seragam yang diluluskan Majlis Raja-Raja berkaitan undang-undang kesalahan jenayah syariah. Namun begitu, hukuman sebat maksimum yang boleh dikenakan tidak melebihi enam kali sebat.


Berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan yang serius, sebat syariah bukanlah bagi kesalahan yang serius saja. Ia termasuk kesalahan berkaitan akhlak, tatasusila dan juga beberapa kesalahan lain.


Alat untuk menyebat tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan diperbuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Sebelum hukuman sebat dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh Pegawai Perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman berkenaan.

Sekiranya pesalah hamil, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga tamat dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran.


Hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat seperti diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi maksud itu.

Cara sebat:

l Orang yang dilantik melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang. Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah.

l Selepas mengenakan satu sebat, dia hendaklah mengangkat alat sebat itu ke atas dan tidak menariknya.

l Sebat boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

l Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk.

l Jika ketika hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebat, sebat itu hendaklah ditangguhkan sehingga pegawai perubatan itu memperakui bahawa pesalah sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

l Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

Masa pelaksanaan hukuman

l Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman penjara, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan yang berkenaan.

l Sebat itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.

Kanun Acara Jenayah 1998 (CPC)

Kanun Acara Jenayah 1998 ini terpakai kepada sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Sivil. Sebatan jenis ini agak berlainan dengan sebat syariah. Sejarah hukuman sebat di Malaysia sebenarnya tidak berakar umbi daripada Islam.

Ia bermula kerana diperkenalkan oleh Britain. Apabila Negeri-Negeri Selat terbentuk, maka undang-undang jenayah Inggeris juga terpakai. Di Malaysia, ada lebih kurang 50 orang yang diberi kuasa untuk melakukan sebat.

Sebelum 2005, bagi setiap sebat, tukang sebat itu menerima RM3. Selepas 2005, kadar itu dinaikkan kepada RM10 setiap sebatan. Di Penjara Kajang sebatan dilakukan setiap Rabu dan Jumaat.

Halangan dan cabaran

Sebenarnya tidak wujud halangan besar melaksanakan hukuman sebat ini. Namun begitu ada beberapa aspek yang perlu ditekankan bagi melicinkan pelaksanaan hukuman sebat. Antaranya:

l Tidak faham mengenai pelaksanaan hukuman sebat. Antara isu yang ditimbulkan ialah bolehkah pesalah wanita dihukum sebat seperti sekatan di dalam undang-undang sivil. Bagaimana jika wanita itu hamil?

Halangan wanita dijatuhi hukuman sebat hanyalah wujud di dalam CPC yang hanya terpakai kepada prosiding jenayah di mahkamah sivil. Perkara ini dapat difahami kerana sebat di dalam undang-undang sivil membawa kepada kecederaan yang amat ketara. Oleh yang demikian ia dikhususkan kepada orang lelaki saja.

Tiada peruntukan khusus yang melarang hakim syarie menjatuhkan hukuman sebat terhadap wanita. Hakim syarie pula perlu bijak dengan menangguhkan hukuman sekiranya pesalah wanita itu hamil. Hukuman sebat boleh ditangguhkan selepas dua bulan bersalin. Sekiranya dijatuhkan juga hukuman sebat, maka hakim syarie boleh mengeluarkan bon kepada pesalah sehingga wanita itu melahirkan anak.

l Persediaan melaksanakan hukuman sebat. Saya difahamkan semua pegawai penjara yang melaksanakan hukuman sebat sudah dilatih menjalankan hukuman sebat syariah. Mereka sudah bersedia melaksanakan tugas mereka, namun tiada pelaksanaan dilakukan melainkan di Kelantan.

l Hukuman sebat dikenakan tetapi pemenjaraan tidak dihukum.

Perkara ini sebenarnya sudah pun dikanunkan. Dalam hal pesalah itu dihukum sebat saja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman sebat dilaksanakan.

Hakim syariah juga boleh menggunakan ‘judicial creativity’ dengan mengeluarkan bon jaminan kepada pesalah sehingga pelaksanaan hukuman sebat itu.

Adakah hukuman sebat syariah sama dengan sebat sivil?

Ngeri melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat syariah. Ramai yang menyamakan sebat sivil ini dengan sebat syariah. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang selepas dua tahun disebat.

Undang-undang berkaitan dengan kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman sebat berbeza antara negeri. Lebih banyak kesalahan sepatutnya boleh dikenakan hukuman sebat.

Sebagai contohnya denda di dalam kes khalwat tidak mampu membendung gejala sosial ini yang semakin berleluasa.

Walaupun memang ada peruntukan kesalahan, hukuman sebat amat jarang dijatuhkan melainkan di Kelantan dan Pahang. Oleh yang demikian pelaksanaan hukuman ini belum lagi diuji sepenuhnya.

Ada banyak bantahan diutarakan daripada ahli akademik, aktivis hak asasi manusia dan peguam terhadap hukuman sebat ini. Majlis Peguam sudah meluluskan satu resolusi yang menegaskan bahawa sebat itu adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan amat menyeksakan. Majlis Peguam mendesak kerajaan menghapuskan hukuman sebat.

Hukuman sebat syariah agak berbeza dengan sebat sivil. Walaupun peruntukan hukuman ini sudah lama wujud, pelaksanaannya masih lagi belum meluas. Sudah sampai masanya hukuman ini dijatuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya.

Halangan yang ada adalah halangan bersifat metafora dan bukan halangan sebenar. Hukuman sebat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana agensi yang berkaitan seperti penjara sudah bersedia melaksanakannya.

Malah hakim-hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah oleh pegawai penjara mendapati ia tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak.


Penulis ialah Penolong Setiausaha Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Jul 20, 2009

Ini Bukan Sikap Orang Islam!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selawat dan salam ke atas Nabi MUhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Inilah senario yang sering berlaku di sekeliling kita :

Apabila saudara kita dalam kesusahan, siapakah yang pertamanya akan menghulurkan tangan untuk membantu mereka?

Di dalam kesesakan jalanraya, bunyi hon bersahut-sahutan. Rupa-rupanya di situ ada kemalangan. Dan pemandu membawa kereta dengan perlahan-lahan hanya untuk melihat kemalangan dan kemudian berlalu pergi.

Seorang pelajar tersangkut kainnya di eskelator di KLCC, yang membantu bertungkus lumus adalah orang bukan Islam. Manakala saudara seIslam hanya tukang pemerhati sahaja.

Seorang wanita bersama suaminya terjatuh dari motor kerana si peragut yang kejam telah mencuri tas tangan wanita terbabit sekaligus menendang motor yang dibawa oleh suaminya, dalam keadaan sedih dan meminta tolong melihat suaminya yang nazak, orang di kiri kanan hanya sebagai pemerhati. Sehinggalah putus nafas si suami..

Masih ada persepsi diri yang menyatakan ustaz dan ustazah yang perlu menunjukkan contoh yang baik. Tetapi masih kurang kesedaran bahawa sepatutnya setiap diri orang Islam itulah yang perlu menunjukkan contoh yang terbaik untuk dicontohi. Jika mereka ustaz, orang alim, bukankah diri kita sendiri pula adalah terdiri dari orang Islam yang menjunjung tinggi al Quran, Sunnah dan ijmak?

Ada ketikanya semasa hendak menghulurkan bantuan dari segi kewangan seperti di tabung masjid, surau, atau memberikan sumbangan untuk majlis di sekolah-sekolah yang berbentuk kerohanian atau yang membina modal insan hati kita akan 'bertarik tali'. Malah perlu diminta berkali-kali. Jumlah wang yang hendak diberi bermulanya tinggi, kemudian banyak lagi alasan yang akan datang bertalu-talu sehinggalah jumlah bantuan semakin kecil dan ada juga akhirnya - 'tak mengapalah lain kali sahaja untuk bersedekah'.

Sedangkan untuk tujuan bermegah dengan kejayaan yang dicanang selama ini selain bidang kerohanian amat senang sekali diberi dan diluluskan. Wahai.. nampaknya kemenangan syaitan menyalurkan perasaan bakhil telah bertapak di sanubari sana.

Akhirnya perasaan untuk berlumba-lumba membuat kebaikan itu semakin sirna begitu sahaja..

Ada pula kisahnya, orang yang alim lagi faqih (segelintir sahaja) hanya memerhatikan sahaja keletah umat Islam yang diserang dengan fahaman-fahaman dan ideologi sonsang, gejala sosial semakin membarah di dalam perut umat Islam. Dia kata nantilah, biarkanlah.. akhirnya barah itu membusuk dan pecah.. 'sudah terhantuk baru terngadah'.

Anak Orang Anak Kita

Orang kita dahulu bila melihat anak orang lain berdua-duaan, ada melakukan kesilapan pastinya mereka akan ditegur. Berlainan pula di zaman sekarang. Sebab sudah ada mentaliti yang merasakan bahawa anaknya jangan diusik walaupun salah. Walhal perkembangan anak-anaknya bukanlah dapat dipantau sepanjang masa.

Sekolah pula adalah tempat didikan dan ajaran bukan sebagai taman asuhan kanak-kanak.

Semangat kejiranan, tolong menolong, mengambil tahu sudah semakin terhakis di dalam hati dan minda orang kita kini. Kalaulah mereka faham bahawa setiap umat Islam itu bersaudara bagaikan batu bata yang memperkukuhkan antara satu dengan yang lain, tentulah tidak timbul masalah sosial yang melambak di sana sini.

Jomlah kita fikir dan ambil tindakan..

Jun 15, 2009

Kembalinya Sebutir Permata "Dr. Fathi Yakan"


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Setelah 2 minggu bercuti bersama keluarga tercinta. Amat jarang sekali daku menjenguk blog-blog sahabat. Namun setelah habis tempoh bercuti kembalilah daku ke tempat bertugas.

AL-FATIHAH

Namun hati sedikit tersentak bila mana terbaca berita tentang kembalinya sebutir permata yang sangat berharga kepada dunia Islam Dr. Fathi Yakan pada 13 Jun 2009.

Hasil karyanya amat bermakna dalam meneruskan perjuangan dan mengembalikan kegemilangan Islam yang juga menjadi bahan bacaan dan rujukan utama daku ketika mengendalikan usrah mingguan.

Antara buku yang menjadi bahan rujukan daku ialah "Apa Ertinya Saya Menganut Islam?" {Mazha Yakni Intimai Lil Islam?}

Semoga ruh Dr. Fathi Yakan ditempatkan bersama ruh para syuhada', solihin dan di tempatkan pada makam yang tertinggi di syurga.

Inna lillahi wa inna ilaihi raji'uun
AL-FATIHAH
Profil Dr. Fathi Yakan

Dr Fathi Yakan ialah ulama dan pendakwah Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku di antaranya Maza Ya'ni Intimai lil Islam, al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.

May 29, 2009

Belajarlah Dari Alam Sekeliling

Bismillahir rahmanir rahim.
Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Belajarlah dari MATAHARI:
Adil menebar cahaya dan memberikan kehangatan kepada semua, baik yang terawang-awang di angkasa mahupun yang bertebaran di atas bumi, kepada yang miskin mahupun yang kaya, yang mulia hatinya juga buat si kejam, kepada semua makhluk ciptaan Ilahi.

Belajarlah dari BUNGA:
Sentiasa tersenyum menyebarkan harumannya menghadiahkan kecantikan untuk mengubat hati yang gundah, juga menggembirakan setiap mata yang memandang.

Belajarlah dari LEBAH:
Sentiasa berganding bahu, bekerja dengan hati yang riang dan semangat membara.

Belajarlah dari POKOK:
Menghadiahkan buah yang manis dan segar sambil menundukkan dahannya.

Belajarlah dari BULAN:
Tenang memancarkan cahayanya yang kemilau dan indah buat menyuluh malam yang gelap.

Belajarlah dari SUNGAI:
Tabah bergerak menuju ke destinasi dengan meredah apa saja halangan hinggalah sampai ke muaranya. Airnya lembut dan tenang tapi tiada suatu pun mampu menghalang kemaraanya.

Belajarlah dari DAUN yang luruh:
Sabar ketika menghadapi kesukaran. Sentiasa tabah menunggu hari yang baik dan sesuai untuk tumbuh kembali.

Belajarlah dari HUJAN:
Kehadirannya dinanti-nantikan buat penyejuk alam yang hangat, membasahi kekeringan, menghijaukan tanah yang gersang dan memberi nyawa kepada tumbuhan.


Lihatlah ke dalam diri, pelajarilah sifat-sifat alam yang dicipta Sang Penguasa Agung. Kita juga sebahagian daripadanya.

Sumber: http://al-pakri.blogspot.com/2008/12/belajarlah.html

May 24, 2009

Saya Mesti Muslim di Sudut Aqidah: Aqidah siri 6

Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillahi rabbil 'alamin wasollatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wa sohbihi ajma'in. Amma ba'du;

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikkan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Ini kerana manusia telah dikuniakan akal fikiran untuk memikirkan dan membuat pilihan (takhyir) yang mana baik bagi dirinya untuk diamalkan berdasarkan peraturan Islam dan menjauhi segala larangan dan kejahatan.

Namun demikian, kebaikkan yang dilakukan itu tidaklah berlaku melainkan dengan taufiq dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang batasan dan keizinan Allah serta kehendakNya, pembaca digalakkan merujuk kepada kitab-kitab yang menghuraikan tentangnya dengan lebih jelas. Pengendali tidak mampu menghuraikan bahagian ini secara terperinci kerana keterbatasan kajian ilmu yang dimiliki.

7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah Subhanahu wata'ala. Adalah amat tidak wajar sama sekali manusia yang memiliki segala kelemahan dan keterbatasan ilmu untuk mendahului atau membelakangi segala undang-undang dan peraturan yang telah Allah tetapkan.

Walau bagaimana pun, terdapat di sana beberapa perkara yang dibolehkan untuk berijtihad dan mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Namun tidaklah mudah untuk kita yang bergelar manusia biasa dengan sewenang-wenangnya boleh mengeluarkan sesuatu hukum. Ianya hanya dikhususkan kepada mereka yang pakar dalam ilmu agama sahaja (contoh ilmu usul fiqh dan fiqh) yang dipanggil sebagai "alim ulama", "tok guru", "jamaah mufti" dan sebagainya yang sememangnya terbukti kepakaran mereka dalam bidang tersebut.

Janganlah kita mengeluarkan hukum sewenangnya contohnya, tidak usah bersolat jika terlalu sakit atau terlantar dikatil hospital kerana susah untuk bergerak. Atau ramai yang beranggapan tidak dapat mengerjakan solat sekiranya tempat yang dituju itu tiada tempat solat. Apakah kita lupa bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ada menyebut bahawa hamparan bumi ini adalah suci untuk melakukan solat.

Wallahu a'lam.

May 18, 2009

Saya Mesti Muslim di Sudut Aqidah: Aqidah siri 5


Bismillahir rahmanir rahim.
Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Bersambung perbincangan bagi pemantapan aqidah menurut ulasan ustaz Fathi Yakan, antaranya;

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan dan lahirnya insan ke dunia ini ialah untuk mengenali Allah 'azza wa jalla, dengan memberi sepenuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Sebagaimana telah diungkapkan dalam al-Qur'an Surah al-Zariyat 51: Ayat 56-58;
Mafhumnya;

"Dan tidaklah Aku mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh".

Itulah tujuan yang utama manusia dilahirkan ke dunia ini. Mencari ilmu pengetahuan agar dapat mengenali Sang Pencipta dengan lebih dekat seterusnya memberi sepenuh ketaatan dan pengabdian tanpa berbelah bagi kepadaNya.

Bukan ketika solat sahaja hanya kepada Allah hati diniatkan, bahkan ketika berjalan, makan, bekerja, tidur hatta ke tandas pun hati dipusatkan hanya beribadat kepada Allah. Supaya setiap langkah yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Islam dalam keredhaan Allah.

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah Syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi durhaka ialah api neraka.

Sungguh adil perhitungan dan pembalasanMu ya Allah. Maha Adil Allah taala sehinggakan setiap zarah kebaikkan yang dilakukan oleh mukmin akan tetap dibalas dengan kebaikkan. Manakala sebesar zarah kejahatan yang dilakukan pendurhaka tetap ditimpa balasannya.

Maka di manakah lagi jalan keluar bagi mereka yang mendurhakai perintah Allah kerana setiap detik perbuatan baik dan jahat dikira dan dicatat oleh pencatat yang setia di kanan dan kiri manusia iaitu Raqib dan 'Atid.

Jika hari ini seorang pembesar berkuasa, jika hari ini seorang peguam menang bicara, jika semua itu terkeluar dari landasan Islam pada hal mereka mengetahuinya maka tunggulah balasan azab yang tiada terperinya menanti di sana.

Apakah manusia pembelot, pengkhianat, pendusta dan perosak umat mampu mendabik dada tatkala membelot, mengkhianati, mendustai serta merosak umat dengan amanah yang Allah kurniakan!


Ketahuilah! Di sana hanya dua balasan yang akan diterima manusia dan jin sama ada Syurga atau Neraka. Dengan ini, saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi mukmin yang taat kepada perintah Allah ialah Syurga. Manakala orang yang engkar perintah Allah adalah Neraka.

Wallahu 'alam.

May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, selawat serta salam ke atas nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Bersempena 16 Mei ini, daku ingin merakamkan ucapan;

SELAMAT HARI GURU

kepada mereka yang bergelar pendidik yang telah banyak berjasa bagi mendidik anak bangsa ke arah kecemerlangan di masa depan.

Wahai cikgu, jasamu tetap ku kenang, dalam doaku tetap ku pinta semoga Allah sentiasa merahmati insan yang bergelar guru dan pendidik ini.

Bebanan tugasmu sering dipandang ringan di mata mereka, namun hatimu jua yang mengetahui. Teruskan berjuang mendidik anak bangsa wahai guru...

May 14, 2009

Tetapkanlah iman di hatiku...

" Ya ALLAH, jauhkan aku dari dosa-dosaku sebagaimana Engkau jauhkan antara Timur dan Barat. Ya ALLAH, bersihkan daku dari dosa-dosaku sebagaimana bersihnya baju putih daripada kotoran. Ya ALLAH, sucikanlah aku dari dosa-dosaku dengan salji, air dan angin…ameen"

Beer halal???...


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, selawat ke atas Rasulillah. Amma ba'du;

Sila baca dan renungilah wahai umat Islam...

Kiriman sahabat: Abu Salman

Syarikat Iran mahu buka kilang bir tanpa alkohol

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

1. sanggupkah anda makan daging ayam disembelih tapi dibentuk menyerupai babi?
2. bolehkah anda sambut aidilfitri tapi memakai baju santa claus?
3. mengapa dibotol arak halal menyerupai arak haram? tak terkeliru ke dgn arak haram?
4. forum halal ni tidak dipantau majlis agama ke?

5. seksok bebudak sekolah minum arak haram pon org leh kata tu arak halal..nak wat camana dah rupa lebih kurang..
6. apa komen Majlis fatwa?...

Rasulullah SAW pernah memberi amaran keras kepada umatnya berkenaan gejala mengikut, meniru atau melakukan budaya asing melalui sabda Baginda bermaksud: Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia turut termasuk bersama golongan itu
. (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
najib.daud@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Mei - (Utusan Malaysia ARKIB : 08/05/2009) Malaysian Iranian Corporation Sdn. Bhd. (MICSB), pemegang hak eksklusif bagi pengedaran minuman bir tanpa alkohol jenama 'Istak' dari Iran, bakal membuka sebuah kilang di negara ini dengan pelaburan hampir RM50 juta.

Pengarah Urusan MICSB, Mahdi Bagherian berkata, pelaburan itu merupakan langkah pertama untuk produknya meneroka pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.

Tiga lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan kilang itu ialah di Pelabuhan Klang, Melaka, dan Johor Bahru, katanya.

"Minuman tanpa alkohol atau halal ini merupakan produk terbaru yang dipasarkan ke negara ini malah permintaan terhadapnya amat menggalakkan terutamanya bagi pelanggan bukan Islam dan penggemar minuman alkohol yang mahu mencari alternatif lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Istak dihasilkan melalui pemilihan malt (bijirin biasanya barli yang diperam) paling berkualiti dan dikeluarkan menerusi syarikat yang berpengkalan di Iran, Arpanoosh Industrial Co. yang berpangkalan di Iran.

Syarikat dengan keupayaan pengeluaran 35,000 botol sejam itu memiliki barisan pengeluaran terbesar di samping keupayaan teknologi mesin paling terkini dari Jerman.

Menurut Bagherian, produk tersebut masih baru di pasaran tempatan namun produk tersebut akan dijual di pasar raya besar, pasar raya dan hotel-hotel di seluruh negara.

Katanya, ketika ini syarikat yang beroperasi di Putrajaya itu mengimport kira-kira 20 buah kontena yang mengandungi 1.2 juta botol minuman Istak untuk dipasarkan ke Malaysia.

Melalui pembinaan kilang yang bakal dibina itu, beliau memberitahu, keupayaan untuk mengeluarkan minuman itu boleh mencapai dua kali ganda jika penggunaan teknologi sama seperti di Iran diguna di negara ini.

"Jenama Istak ini bukan jenama asing di luar negara kerana Arpanoosh telah mengeksport minuman itu ke Jerman, Afghanistan, Palestin, Lubnan, Azerbaijan dan Australia," katanya.

Jika perancangan untuk membuka kilang baru di negara ini menjadi kenyataan, Istak akan dieksport ke Indonesia , Thailand , Singapura manakala di Vietnam jenama minuman tersebut telah pun dijual baru-baru ini.

Bagi mengukuhkan jenama itu di rantau ini, MICSB telah menaja sebuah pasukan rali-SR Motorsports bagi meningkatkan kesedaran jenama itu di kalangan pengguna, selain meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna remaja tentang kebaikan minuman tanpa alkohol di dalam sukan.

Selain itu, minuman itu didakwa baik untuk kesihatan termasuk mampu mengelakkan sakit buah pinggang,, mengurangkan tekanan, membina tenaga dan mampu mengurangkan kolesterol.

Terima Kasih kerana MENDERMA untuk YAHUDI

"Rasa Riang Rasa Hebat , Membunuh Di PALESTINE "

Eat McD Support JEWS


Apa kata anda?
Sekadar renungan bersama

May 11, 2009

SUJUD TILAWAH DI LUAR SEMBAHYANG

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad. Amma ba'du;

Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.

Niat sujud tilawah ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam :

Maksudnya: “Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”

Begitu juga dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.

Di samping berniat di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:

Ertinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”

Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.

Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)

Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.

Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.

Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)

BACAAN ATAU ZIKIR KETIKA SUJUD TILAWAH

Adalah sunat hukumnya membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di galakkan itu ialah:

Ertinya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”

Dan zikir yang lain sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya : “Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud”

(Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)

Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :

Ertinya: “Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”

Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.

Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:

Ertinya:“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)

Sumber: http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ic57_2001.htm

APA DIA SUJUD SYUKUR ITU ?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulillah. Amma ba'du;

Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.

HUKUM SUJUD SYUKUR

Jumhur ulama berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :

“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)

Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.

Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Shad iaitu:

Tafsirnya: “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.

Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.

BAGAIMANA SUJUD SYUKUR DILAKSANAKAN ?

Sujud syukur dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan di luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan juga salam.

Syarat-syarat sahnya juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.

Dari segi zikir yang sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.

Begitulah cara Islam mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih baik.

Menurut Imam Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan sebabnya terlalu lama.

Rujukan: http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ic57_2001.htm


May 9, 2009

Saya Mestilah Muslim di Sudut Aqidah. Aqidah Siri 4

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulillah. Amma ba'du;

Bersambung bicara aqidah...

2. Saya mesti beriman, yakin, percaya dan berpegang teguh bahawa Allah subhanahu wata'ala tidaklah menjadikan alam ini secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Maha suci Allah yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan mencipta alam ini dengan sia-sia.

Ini kerana setiap kejadian Allah sama ada kecil mahu pun besar, pasti ada manfaat dan faedahnya. Sebagai contoh tidaklah Allah menjadikan seurat bulu di badan manusia hanya sia-sia melainkan berbagai manfaat kepada kehidupan manusia seperti bulu kulit yang condong dapat mengurangkan udara daripada terperangkap pada kulit supaya haba mudah dibebaskan kerana udara adalah penebat haba yang baik. Bulu kulit dikawal oleh otot erektor.

Selain itu, adalah mustahil bagi manusia dapat memahami maksud tujuan Allah ta'ala menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan wahyu daripada Allah subhanahu wata'ala. Akal manusia sangat terbatas kemampuannya. Tanpa huraian daripada Rasul, akal tidak mampu memikirkannya.

3. Saya mestilah beriman, percaya dengan penuh yakin bahawa Allah subhanahu wata'la telah mengutuskan rasul-rasul dan bersama meraka kitab-kitab sebagai panduan kepada manusia dan mengajar manusia agar dapat mengenali Sang Pencipta mereka, dari mana asal usul manusia, ke mana tempat kembali manusia selepas ini. Allahu Akbar...

Saya juga mesti beriman dan percaya bahawa Rasul terakhir yang diutuskan ialah nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bersama kitab al-Qur'an al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.

Wassalam.

Rujukan: Madha Ya'ni Intima'i Lil Islam. Ustaz Fathi Yakan. (Apa Ertinya Saya Menganut Islam)

May 8, 2009

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Aqidah. Aqidah siri 3

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi sentiasa, selawat dan salam tidak putus-putus kepada junjungan tercinta nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Bersua lagi dalam bicara aqidah. Marilah kita sama-sama memantapkan lagi aqidah pegangan kita agar mencapai keredhaan Allah subhanahu wata'ala. InsyaAllah, kali ini kita akan bincangkan penggabungan ajaran dan aqidah Islam dalam kehidupan seharian ini.

Saya mestilah Muslim yang sebenarnya di sudut aqidah sebagaimana yang dicatatkan oleh al-fadhil ustaz Fathi Yakan dalam bukunya 'Madha ya'ni Intima'i Lil Islam'.

1. Dengan itu, bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam aqidah, maka saya mestilah beriman, yakin dan percaya bahawa pencipta alam ini adalah Allah. Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun di dunia ini.

Sesungguhnya bumi dan langit serta kejadian yang ada pada kedua-duanya, cakerawala, matahari, bintang, bulan dan segalanya merupakan ciptaan Allah Yang Maha Agung. Buktinya jelas pada kejadian yang amat unik ini penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

Kejadian manusia yang sangat unik dari setitis air mani kemudian menjadi segumpal darah, seketul daging, pembentukkan tulang yang diseliputi, janin akhirnya ditiupkan ruh sehingga menjadi jasad manusia yang sempurna (rujuk). Apakah manusia terjadi dengan sendiri? Maha suci Allah.

Bagaimana pula dengan kejadian alam ini. Apakah kejadian alam luas ini terjadi dengan sendirinya? Masakan seorang arab badawi (orang kampung tidak belajar) dapat mengakui adanya (wujud) Tuhan Pencipta alam ini dengan hanya memikirkan seketul tahi (najis) unta kering berada di tengah jalan. Apakah tahi ini terjadi sendirinya dan berada di situ. Akhirnya badawi tersebut beriman dengan penuh keyakinan kepada Pencipta alam rabbul jalil.

Dengan ini, saya mesti tanamkan dalam hati bahawa Allah ta'ala adalah Pencipta seluruh alam ini.

Wassalam.

May 5, 2009

Rehatkan Minda

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Amma ba'du;

Hari ini daku nak ajak sahabat rehatkan minda bersama sekejap sebab petang tadi lepas usrah bersama rakan-rakan dan pelajar badan terasa berat ditambah sebelum tu letrik terputus macam cacing kepanasan kat rumah daku ni. Allahu Akbar... baru sekejap dalam kepanasan dah merungut. Almaklumlah sikap manusia...

Sama-sama melihat keindahan alam ciptaan Allah subhanahu wata'ala;

Pulau Manukan Sabah sungguh cantik.
Daku sempat singgah sekejap suatu masa dulu.Tapi yang kurang menariknya, ramai pulak 'dugong' darat berjemur di sini.
Subhanallah...

"Tuhanku, tidaklah Engkau menjadikan semua ini sia-sia".
Wassalam.

Foto dari sini.

May 4, 2009

Apa Itu Aqidah Islam? Aqidah Siri 2


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan lagi umur serta dikurniakan segala bentuk nikmat yang tidak terhingga. Selawat serta salam buat junjungan tercinta penghulu bagi sekalian nabi, Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Perkara yang sangat penting dalam Islam ialah aqidah. Kerana melalui aqidah inilah merupakan syarat utama kepada menerimaan sesuatu amalan dan diberikan ganjaran serta balasan baik. Jika aqidah melencong dari landasan Islam maka segala amalan baik tidak akan dibalas dan terhapus.

Aqidah diambil dari kata dasar al-'Aqdu iaitu ikatan, pengesahan, penguatan dan sebagainya. Aqidah bermaksud ketetapan yang tiada ruang keraguan bagi orang yang mengambil keputusan. Ini memberi kefahaman bahawa aqidah berkaitan dengan keyakinan bukannya perbuatan. Jadi aqidah ialah apa yang menjadi ketetapan hati seseorang secara pasti.

Dengan ini, aqidah ialah perkara yang wajib dibenarkan oleh hati dan jiwa tenteram dengannya. Keimanan yang pasti dan tidak terkandung sebarang keraguan pada orang yang meyakininya.

Aqidah Islam bermaksud keimanan dan keyakinan yang teguh dengan Rububiyyah Allah ta'ala, Uluhiyyah-Nya, Asma'u wa sifah-Nya, Qada' dan Qadar, hari Kiamat, segala berkaitan perkara ghaib, pokok-pokok agama dan apa yang disepakati oleh salafus salih dengan ketundukkan yang bulat kepada Allah ta'ala dari segi perintah-Nya, hukum-Nya, ketaatan kepada-Nya serta meneladani Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. (rujuk)

Jadi, pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

InsyaAllah, bagi melanjutkan persoalan aqidah, kita akan berbicara berkaitan pegangan yang bagaimana dapat memantapkan keyakinan hidup sebagai seorang yang benar-benar Muslim dalam perjalanan seharian. InsyaAllah bersambung...

Rujukan: Apa ertinya saya menganut Islam. al-ustaz Fathi Yakan.

May 3, 2009

Apakah Islam ku Sempurna? Aqidah Siri 1

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukur ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam sentiasa buat junjungan tercinta nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Bercakap tentang aqidah, sudah pasti ramai mengatakan kami beraqidah Islam. Kami beragama Islam. Kami percaya dengan semua rukun Islam (walau ada yang terlupa akan rukun-rukun tersebut).

Semua perkataan itu adalah benar. Ini menunjukkan bahawa kita masih menyayangi Islam dan aqidah Islam. Alhamdulillah...

Di sini saya ingin mengajak diri saya dan pembaca berkaitan dengan persoalan, Apakah diri ini menjadi Muslim kerana telah dilahirkan oleh ibu bapa Muslim atau kerana semata-mata mengikut amalan masyarakat setempat tentang Islam?

Jika demikian, pasti kita masih kabur tentang 'Islam cara hidupku' dan 'Islam: The way of life'. Kita masih kabur dengan penggabungan diri dengan Islam. Kita masih tidak dapat mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian dengan sempurna. Dari itu, kadang-kadang berlaku; kita berada di satu pihak dan Islam di pihak yang lain.

Oleh itu, apa sebenarnya aku beragama Islam? Apakah yang perlu aku lakukan sedangkan aku sudah beragama Islam?

InsyaAllah... dikesempatan lain sama-sama kita membicarakan apakah perkara-perkara yang dituntut oleh Islam ke atas seorang Muslim agar penggabungan Islam dengan diri dan kehidupan menjadi sah dan benar seterusnya menjadi seorang Islam yang benar.

InsyaAllah, bersambung...

Wassalam.

Rujukan: Apa ertinya saya menganut Islam.

Hidup Mesti Berubah. Perjuangan Tetap Diteruskan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wa sahbihi ajma'iin. Amma ba'du;

Sudah lama daku tidak berbicara soal agama dalam teratak usang ini. Mungkin disebabkan tekanan emosi dan rindunya pada keluarga nun jauh di sana. Namun daku tetap redha dengan Qada' dan Qadar Allah subhanahu wa taala.

Apa yang penting bagi daku ialah usaha... dan usaha... dan usaha... berjuang... berjuang... berjuang... kerana Islam sesekali tidak mengajar daku untuk duduk dan tidur berselimut sahaja menanti ketentuan yang bakal tiba. Bagi daku, keyakinan tentang segala ketentuan telah tertulis di 'Luh Mahfuz' menjadi pegangan dalam hidup ini. Allah tidak mengubah sesuatu kaum itu, selagi mereka tidak mengubah diri mereka.

InsyaAllah daku akan berbicara sedikit sebanyak tentang agama berdasarkan ilmu yang cetek ini agar menjadi panduan hidup lebih sempurna.

Wassalam.

Apr 26, 2009

Kedaifan Manusia di Zaman Teknologi Moden

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah. Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad. Amma ba'du;

"Ya Allah, jauhilah kami dari kemiskinan dan fakiran yang melampau. Sesungguhnya kemiskinan itu menjurus kekufuran".

Saksikanlah betapa daifnya manusia di zaman serba moden ini. Saksikan sehingga penghujungnya... Semoga timbul keinsafan dan apakah peranan kita kepada yang menderita?

Apakah video ini benar??!

Apr 19, 2009

Tanda-tanda Munafik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selawat dan salam ke atas junjungan tercinta sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;


حدثنا ‏ ‏يحيى بن أيوب ‏ ‏وقتيبة بن سعيد ‏ ‏واللفظ ‏ ‏ليحيى ‏ ‏قالا حدثنا ‏ ‏إسمعيل بن جعفر ‏ ‏قال أخبرني ‏ ‏أبو سهيل نافع بن مالك بن أبي عامر ‏ ‏عن ‏ ‏أبيه ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة: ‏

‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏آية ‏ ‏المنافق ثلاث إذا حدث كذب وإذا وعد أخلف وإذا اؤتمن خان.‏

Sumber: http://hadith.al-islam.com

Maksud: Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Rasulullah saw. bersabda: Ada tiga tanda orang munafik; apabila berbicara ia berbohong, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila dipercaya ia berkhianat.

Lawati:
http://adikbijak.com

Daku Tetap Menunggu Keputusan Pertukaran


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'iin. Amma ba'du;

April merupakan bulan debaran buat seluruh guru (termasuk daku ni) yang berjauhan dengan keluarga untuk memohon pertukaran sama ada antara negeri mahu pun dalam negeri. Pertukaran ini akan berlangsung bulan Jun 2009. Pada bulan ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuka permohonan pertukaran bagi guru-guru yang ingin memohon untuk bertukar.

Pertukaran antara negeri boleh dibuat melalui 'Sistem Pertukaran Guru Secara Online Antara Negeri' di sini. Bagi permohonan pertukaran dalam negeri, guru-guru masih boleh membuat permohonan melalui borang yang telah disediakan di pejabat sekolah.

Setelah diisi, guru perlulah membawa borang pertukaran beserta dokumen-dokumen berkaitan bagi mendapat pengesahan dari ketua jabatan. Selepas itu komen dan ulasan akan dibuat (menyokong penuh, menyokong bersyarat atau sebaliknya) . Seterusnya Jabatan Pelajaran Negeri/Sarawak akan menapis dan jika berjaya akan mengemukakan kepada Putrajaya.

Bagi pertukaran bulan Jun ini ianya khusus diberi keutamaan kepada pasangan yang berjauhan antara negeri (dalam kategori mengikut pasangan) sebagaimana yang dimaklumkan oleh pihak Putrajaya.

Apa pun, daku tetap mengharap agar keputusan kali ini memihak kepada daku yang mana ia merupakan permohonan kali yang ke-5 termasuk rayuan. Apa yang penting, daku mengharap dapat hidup bahagia bersama keluarga yang telah lama berjauhan.

Doakan pertukaran daku wahai sahabat-sahabat...

Apr 1, 2009

Discovery of Kelantan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

In the Name of Allah, Most Gracious, Most Merciful. Alhamdulillah, All praise and thanks are due to Allah, and peace and blessings be upon His Messenger our beloved prophet, for his family and for all the companions. (lama daku tak berbahasa omputeh...)

Ketika pengendali melawat blog-blog sahabat, terbaca daku sedikit akan sejarah orang-orang Kelantan. Maka suka hatinya daku nak kongsi bersama sahabat-sahabat yang selalu bertandang ke teratak daku ni.


Source: http://raykinzoku.fotopages.com/

Mar 30, 2009

Daulat Tuanku!

Ulang Tahun Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Anis Binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid, Sultan dan Raja Perempuan Kelantan.

Daulat Tuanku!...
Daulat Tuanku!...
Daulat Tuanku!...

Mar 24, 2009

Rindu Pada Anak Kecil Yang Teramat...

Alhamdulillah, syukur kepada Mu ya Allah yang tidak terhingga. Selawat dan salam buat Penghulu kami nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Setelah seminggu mennghabiskan cuti bersama keluarga, kembali daku ke suatu daerah di mana rezekiku ditempatkan. Jauh beribu batu merentasi Laut China Selatan terpaksa daku harungi demi mencari rezeki halal.

Seminggu bersama anak kecil tersayang tak dapat nak diluahkan setelah beberapa bulan di perantauan. Namun seminggu itulah, daku gunakan sepenuhnya untuk melepaskan rinduku untuk memeluk, mendakap, mencium anak kecil tersayang. Bahkan anak kecil ini seolah sudah memahami erti kerinduan seorang ayah terhadapnya.

Pada 18 Mac 2009 yang lalu genaplah 2 tahun umur anak kecil tersayang dan 2 tahun 3 bulan berjauhan dari keluarga tersayang.

Tatkala tiba di lapangan terbang Sultan Ismail Petra pada waktu pagi sekitar jam 0830 dan setelah semalaman bersengkang mata di LCCT, anak kecil menangis apabila melihat daku. Mungkin sudah lama tidak lihat wajah seorang ayah. Menangis seolah daku ini orang asing baginya. Setelah beberapa kali memujuk, barulah anak kecil tersayang berada dalam dakapan daku setiap masa. Bermula dari saat itulah anak kecil tidak dapat berjauhan walau seminit.

Kata ummi, anak kecil ini tidak pernah berada dalam dakapan namun hanya sekejap sahaja. Empat hari bersama anak kecil tersayang, daku merasa rimas kerana asyik minta didukung. Setiap kali melihat kelibat daku, anak kecil tersayang pasti menangis. Waktu tidur anak kecil akan menyebut perkataan 'abah' berkali-kali dan menggapai tangan sebelum melelapkan mata memastikan bahawa 'abah' di sisinya.













Apabila terjaga dari tidur, anak kecil tersayang akan menjerit sekuat hati dan memanggil 'abah'... supaya datang mengambilnya.













Namun jeritan anak kecil tersayang tidak kedengaran lagi melainkan suara dari telefon bimbit. Apa yang pasti, inilah pengalaman seorang bapa muda berjauhan dengan anak kecil tersayang yang hanya mampu diluahkan di sini sebagai tatapan buat bapa-bapa yang sentiasa merindui anak kecil.













Anak kecil sewaktu umminya demam 'cikkugunya'

Semoga pengalaman ini akan lenyap tidak lama lagi. dan semoga terbuka pintu hati mereka yang memahami keperitan ini.

Wassalam.

Mar 11, 2009

Syahid di Hari 'Maulidur Rasul'

Bismillahir rahmanir rahim.

Allahu Akbar!!! Allahu Akbar!!! Allahu Akbar!!! walillahilhamd.

Selawat ke atas Rasul Junjungan sallallahu 'alaihi wasallam, keluarga Baginda serta para sahabat Baginda sekalian. Amma ba'du;

Tatkala seluruh umat Islam mengadakan pelbagai program bagi mengingati sejarah kelahiran dan perjuangan Rasul tercinta, dalam kemeriahan tersebut, umat Islam di Sri Lanka terpaksa berhadapan dengan peristiwa yang amat menyayatkan hati. Tidak dapat pengendali bayangkan perasaan umat Islam di sana tatkala melihat gambar tragedi dahsyat itu.

Di tengah-tengah paluan kompang diiringi dengan ucapan selawat dan salam ke atas Rasul, tiba-tiba satu letupan besar telah menggegarkan kawasan masjid di selatan Sri Lanka yang disyaki dilakukan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Antara gambar yang jelas menunjukkan letupan tersebut.









(Utusan Malaysia)

"Ya Allah, Engkau cucurilah rahmat ke atas roh-roh muslimin yang syahid ketika mana mereka menzahirkan kecintaan mereka kepada Rasul Mu dengan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasul Mu."


(Berita Harian)

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured