Feb 22, 2009

Ibuku Seorang Pembohong ?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukur alhamdulillah nikmat yang berpanjangan tidak pernah putus sejak dilahirkan hingga ke hari dan hari-hari mendatang. Ampunilah segala dosaku Ya Allah...

Pengendali ingin berkongi satu email yang telah dihantarkan oleh seorang sahabat buat renungan bersama. Pada mulanya, pengendali agak sangsi dengan tajuk yang diberikan itu, tapi apabila pengendali membacanya, ternyata ia adalah benar.

Sebuah cerita yang amat menyentuh perasaan dan amat bermakna buat diri pengendali. berkaitan jasa seorang insan bernama IBU. Sama-samalah kita membacanya...

Dari seorang sahabat;
Rahmat B Bayudi, Melbourne, Australia

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang
seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan
renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak
lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering
kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan
masin dikongsi satu keluarga.

Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan
bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk
pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.

Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur.
Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu,
tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya
pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.

Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.

Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan
tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.

Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau
hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di Negara orang." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.

Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan
sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa
bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

"Ya Allah, Ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani ku sejak kecil".



Feb 18, 2009

Aku Sudah cemerlang?

Alhamdulillah bersua lagi di alam maya ini, segala syukur dan puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam ke atas Junjungan mulia Nabi Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam. Amma ba’du;



Kecemerlangan merupakan satu matlamat yang sangat-sangat diharapkan bukan sahaja oleh seseorang individu malah sesebuah organisasi yang berwawasan. Kecemerlangan adalah natijah daripada kejayaan yang dicapai dalam pelbagai aspek yang diharapkan.


Kecemerlangan yang diharapkan bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai malah perlu ada pengorbanan, kesungguhan, kesabaran dan usaha yang berterusan ke arah itu serta perlu melalui berbagai halangan dan rintangan.



Pada pandangan sesetengah pihak, kecemerlangan itu dapat dicapai dengan sikap bertanggungjawab, berdisiplin, mampu mengubah kepada sesuatu yang lebih baik, berkepimpinan dan segala segi yang positif. Namun apakah makna kecemerlangan, jika semua kejayaan yang digarap itu dilakukan hanya untuk mendapat pujian masyarakat, nama dan pangkat semata-mata tanpa diiringi dengan matlamat mengabdikan kepadaNya.



Atau apakah kecemerlangan itu terhasil dari perubahan dan pembangunan material yang dapat dilihat pada kaca mata? Sesungguhnya tidak bermakna sebuah kecemerlangan itu dan sia-sia sahaja di sisi Allah jika tanpa rasa kehambaan terhadapNya. Dari itu, marilah kita semua ikhlaskan niat serta tetapkan matlamat atas segala kerja yang dilakukan untuk menuju keredhaan Allah.



Feb 1, 2009

"Aku Berharap Mendapat SYAHID di Gazzah" Imam Qaradhawi


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selawat dan salam ke atas junjungan Baginda serta para sahabatnya. Amma ba'du;

Tersentak hatiku tatkala terbaca luahan hati seorang ulama Islam tersohor dari sebuah blog berkenaan keinginan dan hasrat hatinya untuk mengakhiri kehidupan ini dengan syahid di medan perang.

Pengendali berasa sungguh pilu dengan kata-kata beliau antaranya;

“Aku Berharap diakhir kehidupan ini, aku dapat pergi ke Ghazzah walaupun berada atas kerusi roda. Aku akan menghalakan senjataku kepada israel, kemudian israel akan membalas dengan melontarkan bom kepadaku,akhirnya aku mencapai syahid di bumi Palestin”

Ini adalah sedutan ucapan Imam Qaradhawi di Qatar bersama pemimpin tertinggi Hamas pada 28 Januari 2009 yang bermottokan Ghazzah telah menang

Kematian yang berlaku kepada rakyat Palestin merupakan kematian syahid yang diimpikan oleh setiap umat Islam.

Ini adalah semangat yang berkobar-kobar ditunjukkan oleh orang tua yang berumur hampir 90 tahun. Bagaimana dengan orang muda seperti penulis dan pembaca sekelian. Tidak rasa malukah mendengar ucapan sebegini.!

Sebenarnya asas kepada kejayaan Hamas ialah kebersatuan ahli Ghazzah dalam menghadapi tekanan Israel tegas beliau lagi.

Sebelum ini, Sheikh Ahmad Yasin pernah di bom oleh tentera Israel. Walaupun Sheikh Ahmad Yasin tidak mempunyai apa-apa kekuatan jasadiyyah, mata beliau yang hampir buta, telinga yang kurang pendengaran, tubuh yang tidak bermaya, suara yang terlampau tidak jelas. Tetapi orang sebegini menimbulkan kegerunan kepada israel. Orang sebegini mampu berjuang sehingga mendapat pahala syahid.

“kemenangan di Ghazzah merupakan kemenangan permulaan. Kita masih menunggu kemenangan yang menyeluruh dengan pembebasan bumi Palestin.”

“Ahli Ghazzah bersatu atas dasar iman dan ukhuwwah, dengan sebab itu, Allah SWT telah menyatukan hati-hati mereka. Israel dan sekutu-sekutunya ingin memecahkan kesatuan antara penduduk dengan pemerintah dengan mengadakan pelbagai sekatan dan melaparkan penduduk Hamas untuk menyusahkan pemerintah Hamas. Tetapi sayang, penduduk Ghazzah menerima kelaparan dan menolak untuk tunduk kepada Israel”

Itulah antara sedutan kata-kata yang penuh bersemangat oleh Imam Qaradhawi. Sepatutnya para pemuda perlu mengambil pengiktibaran di atas semangat yang ditonjolkan oleh beliau.

Palestin mempunyai sejarah yang cukup panjang. Ia juga menjadi perebutan antara tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Di zaman Kristian berkuasa, umat Islam disembelih, diperkosa dan dizalimi. Di zaman yahudi, umat Islam disembelih, diperkosa dan dizalimi. Ketika Islam menguasai bumi Palestin, penduduk yang beragama kristian dan yahudi dibenarkan untuk melawat tempat ibadat mereka tanpa diganggu dan dizalimi. Inilah toleransinya Islam sehingga digeruni dan didengki oleh penganut agama lain.

Walaupun yahudi Zionis telah mengumumkan penarikan tentera di Ghazzah, tetapi penulis yakin, serangan itu pasti kembali. Yahudi adalah bangsa pengkhianat kepada perjanjian.Semenjak zaman Nabi Musa lagi, bangsa yahudi selalu melanggar perjanjian.

Perangai buruk itu terus menerusi diwarisi oleh anak cucunya hingga kini. pelbagai perjanjian genjatan senjata sudah dilakukan, tetapi akhirnya perjanjian ini terus dikhianati. Kemudian yahudi akan menuding jari kepada Hamas kerana menjadi penyebab kepada perjanjian ini dilanggar.

Amerika dan PBB terus menyokong yahudi Zionis dan terus menerus mempersalahkan Hamas setiap masa. Terbaru kenyataan Barack Obama yang mempertahankan tindakan Yahudi Zionis terhadap serangan tersebut. Penulis tidak pasti adakah kenyataan ini keluar dari hati nurani beliau atau terpaksa mengikut telunjuk pelobi yahudi di Amerika.

Yahudi berjaya mempengarui kuasa besar. Tetapi tindakan Hamas tidak mampu menarik simpati pemimpin umat Islam. Pemimpin umat Islam sudah hilang sensitiviti terhadap nasib saudaranya sendiri.

Walaupun serangan Yahudi telah berakhir, boikot mesti diteruskan. Pastikan ekonomi yahudi lumpuh sehingga mereka terpaksa merayu kepada dunia Islam. Semakin kuat dokongan kepada ekonomi yahudi, semakin kuat serangan terhadap umat Islam.

Kristian pernah menguasai bumi Palestin hampir 100 tahun. Kemudian Sultan Salahuddin telah membebaskannya. Yahudi Zionis telah menguasai bumi Palestin hampir 60 tahun (1948-2009). InsyaAllah umat Islam akan kembali membebaskan bumi Palestin dalam masa terdekat ini melalui kekuatan yang diberikan kepada Hamas.

Sama-samalah kita doakan

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured