Mar 30, 2009

Daulat Tuanku!

Ulang Tahun Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Anis Binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid, Sultan dan Raja Perempuan Kelantan.

Daulat Tuanku!...
Daulat Tuanku!...
Daulat Tuanku!...

Mar 24, 2009

Rindu Pada Anak Kecil Yang Teramat...

Alhamdulillah, syukur kepada Mu ya Allah yang tidak terhingga. Selawat dan salam buat Penghulu kami nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Setelah seminggu mennghabiskan cuti bersama keluarga, kembali daku ke suatu daerah di mana rezekiku ditempatkan. Jauh beribu batu merentasi Laut China Selatan terpaksa daku harungi demi mencari rezeki halal.

Seminggu bersama anak kecil tersayang tak dapat nak diluahkan setelah beberapa bulan di perantauan. Namun seminggu itulah, daku gunakan sepenuhnya untuk melepaskan rinduku untuk memeluk, mendakap, mencium anak kecil tersayang. Bahkan anak kecil ini seolah sudah memahami erti kerinduan seorang ayah terhadapnya.

Pada 18 Mac 2009 yang lalu genaplah 2 tahun umur anak kecil tersayang dan 2 tahun 3 bulan berjauhan dari keluarga tersayang.

Tatkala tiba di lapangan terbang Sultan Ismail Petra pada waktu pagi sekitar jam 0830 dan setelah semalaman bersengkang mata di LCCT, anak kecil menangis apabila melihat daku. Mungkin sudah lama tidak lihat wajah seorang ayah. Menangis seolah daku ini orang asing baginya. Setelah beberapa kali memujuk, barulah anak kecil tersayang berada dalam dakapan daku setiap masa. Bermula dari saat itulah anak kecil tidak dapat berjauhan walau seminit.

Kata ummi, anak kecil ini tidak pernah berada dalam dakapan namun hanya sekejap sahaja. Empat hari bersama anak kecil tersayang, daku merasa rimas kerana asyik minta didukung. Setiap kali melihat kelibat daku, anak kecil tersayang pasti menangis. Waktu tidur anak kecil akan menyebut perkataan 'abah' berkali-kali dan menggapai tangan sebelum melelapkan mata memastikan bahawa 'abah' di sisinya.













Apabila terjaga dari tidur, anak kecil tersayang akan menjerit sekuat hati dan memanggil 'abah'... supaya datang mengambilnya.













Namun jeritan anak kecil tersayang tidak kedengaran lagi melainkan suara dari telefon bimbit. Apa yang pasti, inilah pengalaman seorang bapa muda berjauhan dengan anak kecil tersayang yang hanya mampu diluahkan di sini sebagai tatapan buat bapa-bapa yang sentiasa merindui anak kecil.













Anak kecil sewaktu umminya demam 'cikkugunya'

Semoga pengalaman ini akan lenyap tidak lama lagi. dan semoga terbuka pintu hati mereka yang memahami keperitan ini.

Wassalam.

Mar 11, 2009

Syahid di Hari 'Maulidur Rasul'

Bismillahir rahmanir rahim.

Allahu Akbar!!! Allahu Akbar!!! Allahu Akbar!!! walillahilhamd.

Selawat ke atas Rasul Junjungan sallallahu 'alaihi wasallam, keluarga Baginda serta para sahabat Baginda sekalian. Amma ba'du;

Tatkala seluruh umat Islam mengadakan pelbagai program bagi mengingati sejarah kelahiran dan perjuangan Rasul tercinta, dalam kemeriahan tersebut, umat Islam di Sri Lanka terpaksa berhadapan dengan peristiwa yang amat menyayatkan hati. Tidak dapat pengendali bayangkan perasaan umat Islam di sana tatkala melihat gambar tragedi dahsyat itu.

Di tengah-tengah paluan kompang diiringi dengan ucapan selawat dan salam ke atas Rasul, tiba-tiba satu letupan besar telah menggegarkan kawasan masjid di selatan Sri Lanka yang disyaki dilakukan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Antara gambar yang jelas menunjukkan letupan tersebut.









(Utusan Malaysia)

"Ya Allah, Engkau cucurilah rahmat ke atas roh-roh muslimin yang syahid ketika mana mereka menzahirkan kecintaan mereka kepada Rasul Mu dengan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasul Mu."


(Berita Harian)

Mar 9, 2009

Salam Maulidur Rasul

Bismillahi wa 'ala millati rasulillah.
Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Hari ini Isnin 12 Rabiu'l Awwal 1430 Hijrah, tentunya umat Islam dapat menyingkap kembali sejarah kelahiran Junjungan tercinta nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam.

Umat Islam sudah sedia maklum akan peristiwa tersebut, namun yang menjadi tajuk perbincangan ialah apakah kita benar-benar telah menghayati ajaran yang ditinggalkan kepada kita dalam kehidupan seharian?

Sebut sahaja bulan Rabiu'l Awwal rata-rata umat Islam sudah mengetahuinya. Jika ditinjau di segenap tempat sambutan Maulidur Rasul menjadi agenda utama dalam masyarakat dengan kenduri, perarakan, ceramah dan sebagainya yang bertujuan untuk mengingat kembali sejarah kelahiran Nabi serta mengagungkan Baginda.

Apakah memadai dengan sambutan meriah yang kita agung-agungkan? Bagi diri saya tidak salah untuk menyambut kelahiran Baginda, namun apakah cukup setakat sambutan semata-mata tanpa penghayatan yang mendalam dengan apa yang telah disampaikan oleh Baginda tentang ajaran Islam.

Jika dilihat masyarakat hari ini semakin kacau bilau, berlaku kekacauan antara nafsu, keinginan yang melampaui syariat dengan ajaran agama. Masyarakat yang tidak lagi mementingkan intipati Islam dalam hidup menyebabkan banyaknya berlaku huru-hara, jenayah serta sanggup membelakangkan ajaran Islam itu sendiri.

Sebagai contoh; sebahagian wanita Islam kini tidak lagi menitikberatkan hal-hal yang berkaitan kewajipan menutup aurat. Bagi mereka, asalkan memakai baju ia sudah memadai. Sebahagian masyarakat tidak pula mengendahkan dari punca mana dia memperolehi rezeki, yang penting poket penuh menjadi matlamatnya. Anak-anak muda tidak diterapkan dengan nilai-nilai Islam dan seribu satu masalah lagi.

Itulah sebahagian masalah yang menimpa umat Islam hari ini. Bersempena dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad, marilah kita sama-sama mengubah diri dan dapat menghayati tentang ajaran Islam yang benar ini dalam kehidupan harian.

Wassalam.

Mar 8, 2009

TAFSIR AL-MUNIR


Bismillahir rahmanir rahim.

Alhamdulillah syukur kepada Yang Maha Esa, selawat dan salam Junjungan tercinta Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Dalam kesempatan ini, ingin pengendali berkongsi sedikit maklumat berkaitan dengan sebuah kitab tafsir yang dikarang oleh Prof. Dr. Wahbah Mustafa al-Zuhaily.

Prof. Dr. wahbah Mustafa al-Zuhaily merupakan ulama akademis dan tokoh ilmuwan Islam terkemuka. Beliau berasal dari Damsyik, Syiria dan telah banyak menulis kitab dalam bidang Fiqh yang menjadi rujukan kepada umat Islam .

Kitab tafsir ini mengandungi 16 jilid kesemuanya yang membahaskan 30 Juzu' tafsiran ayat-ayat al-Quran al-Karim. Bermula dari Surah al-Fatihah hingga Surah an-Nas. Dalam tafsir ini, Dr. Wahbah al-Zuhaily menerangkan bahawa tujuan penulisan Tafsir al-Munir ini adalah menyarankan kepada umat Islam supaya berpegang teguh dengan al-Quran secara ilmiah.

Alhamdulillah, kitab ini telah diterjemahkan hasil dari gandingan tenaga Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia and Publication (iMAP).

Begitulah sedikit sebanyak tentang kitab Tafsir al-Munir yang dapat dikongsikan bersama. InsyaAllah, sama-sama menjulang ilmu berteraskan wahyu Ilahi.

Wallahu a'lam.

Mar 4, 2009

Baju Untuk Anakku...

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, selawat dan salam ke atas Rasulillah sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Anak merupakan anugerah dan amanah Allah yang perlu dijaga, diasuh dan dididik agar kelak menjadi insan yang bersyukur dan beriman hanya kepada Allah yang satu. Bahagialah keluarga yang dikurniakan cahaya mata tatkala mendirikan rumahtangga dan bersabarlah bagi yang belum lagi.

Amat beruntung sekali seorang anak kecil, segala keperluan disediakan ibu bapa bermula dari susu, makanan, minuman, pakaian dan seribu lagi kelengkapan yang perlu ada untuknya telah tersedia dan disediakan. Sebagai ibu bapa, saat bersama anak kecil yang pertama merupakan pengalaman yang amat bernilai.

Ibu sanggup berjaga malam demi anak tercinta jika terbangun dari tidur bukan kerana sakit tapi hanya disebabkan sudah lama tidur disiang hari maka malamnya terjaga. Maka si ibu tak sampai hati nak tidur sedangkan anak masih berkelip-kelip matanya.

Tatkala anak jatuh sakit, si bapa yang berada di kejauhan terpaksa mengambil cuti beberapa hari bagi menemani anak tercinta ke hospital. Seorang bapa sanggup meninggalkan kerja bertimbun-timbun kerana anak adalah segalanya. Sememangnya engkau disayangi wahai anak.

Wahai anak kecil, seorang ayah tidak dapat berjauhan lama denganmu. Jika bukan kerana halangan, pasti seorang ayah akan pulang setiap hari untuk menjengukmu di samping ibumu. Apa yang pasti, jeritan suara tangisan mu adalah pengubat rindu seorang bapa. Hanya bapa dalam lingkungan rindu sahaja dapat merasai keperitan hidup ini.

Baju buat anak kecil tersayang telah tersedia menunggu untuk disarungkan.




















Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured