May 18, 2009

Saya Mesti Muslim di Sudut Aqidah: Aqidah siri 5


Bismillahir rahmanir rahim.
Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Bersambung perbincangan bagi pemantapan aqidah menurut ulasan ustaz Fathi Yakan, antaranya;

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan dan lahirnya insan ke dunia ini ialah untuk mengenali Allah 'azza wa jalla, dengan memberi sepenuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Sebagaimana telah diungkapkan dalam al-Qur'an Surah al-Zariyat 51: Ayat 56-58;
Mafhumnya;

"Dan tidaklah Aku mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh".

Itulah tujuan yang utama manusia dilahirkan ke dunia ini. Mencari ilmu pengetahuan agar dapat mengenali Sang Pencipta dengan lebih dekat seterusnya memberi sepenuh ketaatan dan pengabdian tanpa berbelah bagi kepadaNya.

Bukan ketika solat sahaja hanya kepada Allah hati diniatkan, bahkan ketika berjalan, makan, bekerja, tidur hatta ke tandas pun hati dipusatkan hanya beribadat kepada Allah. Supaya setiap langkah yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Islam dalam keredhaan Allah.

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah Syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi durhaka ialah api neraka.

Sungguh adil perhitungan dan pembalasanMu ya Allah. Maha Adil Allah taala sehinggakan setiap zarah kebaikkan yang dilakukan oleh mukmin akan tetap dibalas dengan kebaikkan. Manakala sebesar zarah kejahatan yang dilakukan pendurhaka tetap ditimpa balasannya.

Maka di manakah lagi jalan keluar bagi mereka yang mendurhakai perintah Allah kerana setiap detik perbuatan baik dan jahat dikira dan dicatat oleh pencatat yang setia di kanan dan kiri manusia iaitu Raqib dan 'Atid.

Jika hari ini seorang pembesar berkuasa, jika hari ini seorang peguam menang bicara, jika semua itu terkeluar dari landasan Islam pada hal mereka mengetahuinya maka tunggulah balasan azab yang tiada terperinya menanti di sana.

Apakah manusia pembelot, pengkhianat, pendusta dan perosak umat mampu mendabik dada tatkala membelot, mengkhianati, mendustai serta merosak umat dengan amanah yang Allah kurniakan!


Ketahuilah! Di sana hanya dua balasan yang akan diterima manusia dan jin sama ada Syurga atau Neraka. Dengan ini, saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi mukmin yang taat kepada perintah Allah ialah Syurga. Manakala orang yang engkar perintah Allah adalah Neraka.

Wallahu 'alam.

No comments:

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...