May 4, 2009

Apa Itu Aqidah Islam? Aqidah Siri 2


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan lagi umur serta dikurniakan segala bentuk nikmat yang tidak terhingga. Selawat serta salam buat junjungan tercinta penghulu bagi sekalian nabi, Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Perkara yang sangat penting dalam Islam ialah aqidah. Kerana melalui aqidah inilah merupakan syarat utama kepada menerimaan sesuatu amalan dan diberikan ganjaran serta balasan baik. Jika aqidah melencong dari landasan Islam maka segala amalan baik tidak akan dibalas dan terhapus.

Aqidah diambil dari kata dasar al-'Aqdu iaitu ikatan, pengesahan, penguatan dan sebagainya. Aqidah bermaksud ketetapan yang tiada ruang keraguan bagi orang yang mengambil keputusan. Ini memberi kefahaman bahawa aqidah berkaitan dengan keyakinan bukannya perbuatan. Jadi aqidah ialah apa yang menjadi ketetapan hati seseorang secara pasti.

Dengan ini, aqidah ialah perkara yang wajib dibenarkan oleh hati dan jiwa tenteram dengannya. Keimanan yang pasti dan tidak terkandung sebarang keraguan pada orang yang meyakininya.

Aqidah Islam bermaksud keimanan dan keyakinan yang teguh dengan Rububiyyah Allah ta'ala, Uluhiyyah-Nya, Asma'u wa sifah-Nya, Qada' dan Qadar, hari Kiamat, segala berkaitan perkara ghaib, pokok-pokok agama dan apa yang disepakati oleh salafus salih dengan ketundukkan yang bulat kepada Allah ta'ala dari segi perintah-Nya, hukum-Nya, ketaatan kepada-Nya serta meneladani Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. (rujuk)

Jadi, pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

InsyaAllah, bagi melanjutkan persoalan aqidah, kita akan berbicara berkaitan pegangan yang bagaimana dapat memantapkan keyakinan hidup sebagai seorang yang benar-benar Muslim dalam perjalanan seharian. InsyaAllah bersambung...

Rujukan: Apa ertinya saya menganut Islam. al-ustaz Fathi Yakan.

No comments:

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured