May 8, 2009

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Aqidah. Aqidah siri 3

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi sentiasa, selawat dan salam tidak putus-putus kepada junjungan tercinta nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Bersua lagi dalam bicara aqidah. Marilah kita sama-sama memantapkan lagi aqidah pegangan kita agar mencapai keredhaan Allah subhanahu wata'ala. InsyaAllah, kali ini kita akan bincangkan penggabungan ajaran dan aqidah Islam dalam kehidupan seharian ini.

Saya mestilah Muslim yang sebenarnya di sudut aqidah sebagaimana yang dicatatkan oleh al-fadhil ustaz Fathi Yakan dalam bukunya 'Madha ya'ni Intima'i Lil Islam'.

1. Dengan itu, bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam aqidah, maka saya mestilah beriman, yakin dan percaya bahawa pencipta alam ini adalah Allah. Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun di dunia ini.

Sesungguhnya bumi dan langit serta kejadian yang ada pada kedua-duanya, cakerawala, matahari, bintang, bulan dan segalanya merupakan ciptaan Allah Yang Maha Agung. Buktinya jelas pada kejadian yang amat unik ini penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

Kejadian manusia yang sangat unik dari setitis air mani kemudian menjadi segumpal darah, seketul daging, pembentukkan tulang yang diseliputi, janin akhirnya ditiupkan ruh sehingga menjadi jasad manusia yang sempurna (rujuk). Apakah manusia terjadi dengan sendiri? Maha suci Allah.

Bagaimana pula dengan kejadian alam ini. Apakah kejadian alam luas ini terjadi dengan sendirinya? Masakan seorang arab badawi (orang kampung tidak belajar) dapat mengakui adanya (wujud) Tuhan Pencipta alam ini dengan hanya memikirkan seketul tahi (najis) unta kering berada di tengah jalan. Apakah tahi ini terjadi sendirinya dan berada di situ. Akhirnya badawi tersebut beriman dengan penuh keyakinan kepada Pencipta alam rabbul jalil.

Dengan ini, saya mesti tanamkan dalam hati bahawa Allah ta'ala adalah Pencipta seluruh alam ini.

Wassalam.

No comments:

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...