Apr 26, 2008

Siti Hajar: Wanita yang Sabar

Oleh: Tetamu

Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti Hajar. Walaupun perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.


Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang perjalanan tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.

Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu : “Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?” Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. “”Oh… kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan di tengah- tengah padang pasir yang kering kontang ini.” “”Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu…” “”Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini… Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?” Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan pedih hatinya, hanya Allah SWT yang tahu.

Bila disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah SWT itu? Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah SWT, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelusuk dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah SWT.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan ALlah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan… Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada uaminya : “Jika benar ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di sini. Aku redha ditinggalkan” suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya yang berlinangan. Ditabahkan hatinya dengan berkata : “Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini.”

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta redha di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. “Cuma…,” katanya lagi, “doakanlah agar datang pembelaan Allah SWT kepada kami.” Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa : “Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.”

Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai.Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan yang padu pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah SWT.

Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku. Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?

Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.

Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak- hentakkan kakinya ke bumi.

Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, “Zami, zami, zami..” yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, “Berkumpullah untuk anakku.”

Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk berdatangan.

Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.

http://ummahonline.wordpress.com

Apr 22, 2008

Amalan Tanpa Ilmu Menuju Kehampaan

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulillah solallohu ‘alaihi wasallam…

Kita telah dididik sejak dari kecil bahawa menunaikan solat, membaca al-Quran dan berbuat baik akan diberi ganjaran pahala yang banyak dan dimasukkan ke dalam syurga bersama para anbiya’. Lalu berdirilah kita sebagai kanak-kanak di saf-saf belakang mengikut orang-orang dewasa menunaikan solat dan membaca al-Quran bagi merebut ganjaran yang dikhabarkan.

Saban hari ibadat-badat tersebut telah menjadi sebahagian daripada hidup kita sejak sekian lamanya. Bahkan kita sedar bahawa pentingnya melakukan amalan ini untuk melepaskan tanggungjawab yang ditaklifkan ke atas kita.

Namun, sebahagian daripada kita masih lagi beramal dengan cara taklid seperti zaman kanak-kanak tanpa mempelajari tentang hukum hakam dan syarat-syarat amalan yang dilakukannya.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana belum tentu sesuatu amalan yang dilakukan itu bertepatan dengan hukum dan syaratnya. Apa yang ditakuti ibadat tersebut tidak mendapat apa-apa ganjaran melainkan penat dan lelah sahaja.

Maka, amat penting ke atas setiap muslim agar mengetahui bahawa amal ibadat yang dilakukan tanpa ilmu dan makrifat tidak dapat memberi apa-apa manfaat melainkan kehampaan. Ini kerana dalam ibadat seseorang wajib mengetahui atau memahami dengan sebenar-benar apa yang dilakukan.

Seseorang itu perlu belajar terlebih dahulu dengan sepenuhnya agar dapat melakukan ibadat dengan betul sambil merenung hikmat di sebalik setiap yang diperintahkan Allah ke atasnya. Wassalam…

Apr 19, 2008

Selamanya Bersyukur Pada Mu Ya Allah


Bismillahir rahmanir rahim…

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, selawat dan salam ke atas nabi Mursalin…

Ya Allah…

Berikanlah kepadaku perasaan yang sebenar-benarnya bahawa aku telah dikurniakan dengan pelbagai nikmat dari Mu seperti nikmat kehidupan yang mana aku telah dan sedang menikmatinya. Nikmat memiliki sifat kudrat sehingga aku mampu untuk melakukan sesuatu, boleh berbicara dan berfikir serta berbagai amalan lain yang bermakna.

Ya Allah…

Semua nikmat dan kesenangan ini ada pada diriku, selain dari terselamat daripada berbagai ujian dan musibah. Berikanlah keyakinan kepadaku bahawa kesemua nikmat itu ada pemberinya yang menuntut aku agar terus bersyukur dan berkhidmat kepada Mu.

Apabila aku lalai untuk berkhidmat kepada Mu dan mensyukuri nikmat Mu, pasti Engkau akan menarik kembali semua nikmat itu dan aku pula pasti menerima hukuman dan balasan.

Hanya pada Mu aku bermohon keredhaan dan kesenangan dalam apa jua keadaan. Ya Rabbal ‘alamin…

Dari: wasiat Imam Ghazali

Apr 18, 2008

Umur Semakin Pendek, Kembalilah kepada Ketaatan


Bismillahir rahmanir rahim…

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan nabi mulia Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan ke atas keluarga baginda.

Telah diakui manusia sememangnya lemah walau pun telah berjaya mencipta berbagai alatan canggih namun, masih bergantung harap pada Yang Maha Esa.

Zaman berubah dan semakin mencabar. Urusan agama pula terus mundur bagai kapal karam di lautan, tenggelam sedikit demi sedikit hilang pada pandangan mata. Manusia semakin sibuk untuk mengecapi perubahan agar tidak ketinggalan dari arus pemodenan . Manakala kesempatan beribadat pula berkurangan.

Manusia disibukkan dengan urusan dunia sedangkan umur semakin pendek. Allah taala adalah penguji yang amat teliti. Setiap masa manusia akan diuji dalam apa jua keadaan. Memandangkan kematian semakin dekat, perjalanan yang harus ditempuh sangat panjang. Maka, satu-satunya bekalan yang ada adalah taat.

Waktu yang berlalu tidak akan kembali lagi. Beruntunglah kepada orang-orang yang taat. Sebaliknya, amat rugilah mereka yang enggan taat kepada perintah Allah subhanahu wataala.

Memandangkan risiko besar bakal dihadapi, maka jalan ketaatan ini jarang sekali ditempuhi manusia. Bahkan, terlalu sedikit bilangan mereka yang benar-benar mengikutinya.

Apa yang pasti, kembalilah kepada ketaatan dan ketakwaan dengan keikhlasan bagi menjamin kebahagiaan manusia sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat negara kekal abadi. Justeru mulakanlah dengan membasahi bibirmu dengan selawat dan zikrullah.

Wassalam…

Apr 16, 2008

DI MANA ROH SELEPAS MATI?

Di mana ruh ditempatkan selepas mati? Apakah ia mempunyai hubungan dengan jasad yang ditanam di bumi?

Terdapat banyak pandangan ulamak dalam masalah ini, antaranya;

Pendapat pertama: Ruh orang-orang beriman sama ada para Nabi atau syuhada’ ditempatkan di dalam syurga. Adapun ruh-ruh orang kafir ditempatkan di dalam neraka. Ini adalah pendapat Abu Hurairah, Ibnu Umar, Imam Ahmad, Imam Syafi’ie dan Ibnu Kathir (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 154).

Pendapat kedua: Ruh-ruh orang beriman berada di langit yang ke tujuh di tempat bernama ‘Illiyyiin, sedangkan ruh-ruh orang kafir berada di lapisan bumi yang ke tujuh di tempat bernama Sijjin (penjara). Ini adalah pendapat Kaab dan Syeikh Abu Bakar al-Jazairi.

Pendapat ketiga: Ruh-ruh orang beriman akan berada di halaman kubur masing-masing di mana kubur-kubur mereka dilapangkan oleh Allah, kecuali ruh orang-orang mati syahid yang ditempatkan di dalam syurga. Adapun ruh-ruh orang kafir, ia ditahan/dipenjara di bawah lapisan bumi yang ke tujuh. Ini adalah pendapat sekumpulan ulamak. Pendapat inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Baijuri dalam kitabnya Syarah Jauharah at-Tauhid sebagai soheh. Menurut Imam Mujahid; ruh menetap di dalam kubur sehingga seminggu sahaja dari hari ia dikuburkan, kemudian ditempatkan di tempat yang lain.

Pendapat keempat: Ruh berada di suatu tempat di mana ia berada ketika jasadnya belum diciptakan. Ini adalah pendapat Ibnu Hazm.

Pendapat kelima: Ruh orang beriman berada di barzakh di bumi di mana ia bebas dapat pergi ke mana-mana menurut kehendaknya. Ini adalah pendapat Salman al-Farisi dan Imam Malik.

Perbezaan pendapat di atas adalah kerana wujudnya perbezaan dalil yang menjadi rujukan masing-masing. Kerana itu Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya ar-Ruh, setelah beliau membentang pendapat-pendapat yang pelbagai tadi, beliau membuat ulasan bahawa ruh-ruh di alam barzakh berbeza-beza tempat dan tingkatnya mengikut kedudukan masing-masing di sisi Allah;

  • Ada ruh yang ditempatkan di ‘Illiyyin pada daerah yang paling tinggi iaitu ruh para Nabi,
  • Ada ruh yang ditempatkan di dalam syurga seperti ruh para Syuhadak,
  • Ada ruh yang ditempatkan dipintu syurga,
  • Ada ruh yang ditempatkan di bumi,
  • Ada ruh yang berada lapisan terbawah dari bumi,
  • Ada ruh yang berenang dalam lautan darah (sebagaimana dilihat Nabi s.a.w. dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj).

Kesimpulannya, ruh-ruh tidak berada di satu tempat. Sebagai menegaskan pandangan beliau, Imam Ibnul-Qayyim menjelaskan; “Jka kita analisis serta hayati hadis-hadis atau riwayat tersebut, maka kita akan menyimpulkan bahawa tidak ada dalil-dalil soheh yang saling bertentangan antara satu sama lain. Inilah hujah yang benar dan dapat dijadikan pegangan”.

Hubungan ruh dengan jasad

Ruh-ruh selepas mati walaupun berada di tempat yang jauh (di syurga, di langit dan sebagainya mengikut pendapat-pendapat tadi), namun ia masih mempunyai hubungan secara langsung dengan kuburnya yang mengandungi jasadnya. Dengan adanya hubungan itu, ruh akan membalas salam orang yang datang berziarah ke kuburnya dan tidaklah mustahil bagi ruh itu untuk kembali ke jasadnya dalam waktu yang amat pantas dari tempat tinggalnya dengan izin Allah. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda; “Tidak ada seorangpun yang melalui kubur saudaranya yang muslim yang dikenalinya di dunia, lalu ia memberi salam kepadanya melainkan akan dikembalikan ruh kepadanya sehingga ia dapat menjawab salam”.

Begitu juga dengan adanya hubungan itu, jasad akan turut merasai nikmat atau azab yang dikenakan ke atas ruh di alam barzakh। Kesimpulannya; di alam barzakh sekalipun ruh dengan jasad terpisah, namun hubungan antara keduanya masih ada.

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan soleh agar ruh kita nanti akan ditempatkan bersama para anbiya, syuhada dan solihin. Perbanyakkanlah berselawat dan berzikir selagi nyawa dikandung badan.

Wallahu A’lam.

Rujukan;
1. Ar-Ruh, Ibnul-Qayyim al-Jauziyyah.
2. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 154.
3. Aqidah al-Muslim, Syeikh Abu Bakar al-Jazairi.
4. Syarh Jauharah at-Tauhid, Imam al-Baijuri.

http://ilmudanulamak.blogspot.com

Apr 12, 2008

Beginikah Cara Memprotes!!!


Saya teramat sedih dengan perkembangan pemikiran politik di tanah air tercinta. Bukan Saya tidak redha dengan ‘tsunami’ politik yang berlaku, tapi sikap rakyat Malaysia yang agama rasminya Islam. Termaktub dalam perlembagaan…

Wahai bangsaku, kalau kalian tidak setuju dengan idealogi parti lawan, kalian bangkanglah dengan cara yang matang dengan tidak menyentuh perkara yang boleh memburukkan imej Islam. Anda juga orang Islam!!!

Kalian marah tika JYLLANDS POSTEN mensiarkan lukisan orang berpakaian jubah serban dengan bom dan keganasan. Kalian juga menyatakan perang dan biokot terhadap produk belanda tika mana GEERT WILDERS memaparkan filem menghina Islam!!!

Apakah bezanya lukisan protes kalian dengan lukisan JYLLANDS POSTEN!!!

Di manakah sensitiviti kalian sebagai orang Islam!!!

Cara inikah kalian memprotes parti lawan!!!

Sesungguhnya walaupun ianya hanyalah pakaian semata-mata tetapi ia adalah SUNNAH RASULLULAH. Kenapa Kalian tidak menggunakan OTAK dan AKAL yang diberikan Allah kepada kalian!!!

Saya amat sedih dengan gelagat kalian semua. Hati saya lebur bila membaca artikel dan gambar kalian itu. Kalian semua seusia dengan ibu bapa saya. Adakah kalian ingin mengajar anak-anak kalian memprotes dan menghina sesama Islam dengan cara demikian.

Ingatlah kepada Allah dan Junjungan tercinta Nabi sallallahu alaihi wasallam. Jangan sampai Islam dihina penganutnya sendiri...

Apr 11, 2008

Nikmat Keamanan Anugerah Allah Taala

بسم الله الرحمن الرحيم


أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله

Ya Allah, jadikanlah kami di antara mereka-mereka yang sentiasa bersyukur kepada Mu di atas nikmat keamanan yang tidak terhingga ini. Ya Allah, tetapkanlah hati kami di atas agama Mu dan ketaatan kepada Mu. Wahai Tuhan sekalian alam…

Malaysia merupakan negara yang aman damai, tiada persengketaan yang boleh membawa kepada pergaduhan dan peperangan. Rakyatnya yang berbilang kaum saling memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing.

Walau pun di sana terdapat sedikit pertengkaran di antara mereka sebagai mana yang diwar-warkan, namun masih lagi dalam batas-batas kedamaian. Perbezaan ideologi politik tidak mendorong rakyat negara ini melakukan perkara yang boleh membawa kepada keadaan huru-hara.

Alhamdulillah…Rakyat Malaysia amat memahami dan menyintai keamanan. Dengan berpegang kepada prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai moral, itulah rahsianya Malaysia masih tetap utuh dan teguh di persada dunia.

Bagi meneruskan keamanan ini, diharap seluruh rakyat Malaysia sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip agama dan mendaulatkan syariat Islam. Ini kerana hanya syariat Islam sahaja yang dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu mendaulatkan syariat Islam. Ianya bermula dengan setiap individu dapat memainkan peranan masing-masing. Di samping sentiasa mengingati kebesaran dan keagungan Allah dan berselawat ke atas junjungan mulia Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

http://offto.net/profitmoney/

Apr 7, 2008

Fatwa Halalkan Darah warga Arab Palestin.

Maszlee Malik, Durham, UK

Laman web al-jazeera.net melaporkan bahawa para khakham (ulama besar) Yahudi telah meluluskan fatwa menghalalkan darah warga Arab Palestin (Islam dan Kristian) sebagai balasan kepada pembunuhan kader-kader mereka di bandar al-Quds. Fatwa yang akan disebarkan keapda umum pada hari Sabtu, 29 Mac 2008 melalui majalah rasmi kumpulan ultra ortodoks Yahudi itu bertajuk ‘Darah Yahudi lebih mahal dari emas’.


Rabbi dari bandar Safd, Samuel Eliyahu telah mengesahkan perkara tersebut dan menyeru agar kerajaan Israel mengulangi menubuhkan semula unit 101 yang pernah diketuai oleh Ariel Sharon pada masa lampau. Unit tersebut terkenal dengan kekejaman mereka membunuh warga awam Arab dan juga pembunuhan kelarga-keluarga Arab di kampung Qabyah dan Nahalin pada tahun 50’an. Unit yang diketuai oleh Ariel Sharon itu juga terkenal dengan kekejaman mereka membunuh seluruh penduduk kampung Arab, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua di dalam sebuah rumah yang diletupkan secara kejam.


Eliyahu menjelaskan bahawa fatwa berkenaan adalah bersumberkan dari Taurat. Menurut beliau darah kaum selain dari Yahudi adalah halal dan mereka berhak untuk melakukan perkar ayang sedemikian. Beliau mendakwa, jika pihak AS dan Rusia boleh menumpahkan darah kaum Muslimin, mengapa kaum Yahudi tidak boleh dibenarkan melakukan perkara yang sama. Fatwa tersebut telah mengundang kritikan dan penentangan dari ahli parlimen Arab di dalam knesset rejim Zionis Israel. Mereka membawa isu tersebut ke pihak pengadilan dan meminta agar fatwa yang berbau keganasan tersebut diharamkan oleh pihak mahkamah tinggi kerajaan rejim.

Unit yang diketuai oleh Ariel Sharon itu juga terkenal dengan kekejaman mereka membunuh seluruh penduduk kampung Arab, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua di dalam sebuah rumah yang diletupkan secara kejam.


Agak ironik, darah lebih 100 rakyat Gaza telah ditumpahkan sebelum peristiwa serangan ke atas kader-kader Yahudi ultra Ortodoks. Tidak pula kedengaran mana-mana ulama Islam di Gaza menghalalkan darah warga awam Yahudi di seluruh dunia. Peliknya, apabila nyawa para kader-kader ultra ortodoks Yahudi Zionis yang juga merupakan anggota tentera sukarelawan rejim terbunuh, mereka menghalalkan darah semua warga Arab Palestin.

Di manakah media antarabangsa untuk mempamerkan kepada dunia wajah sebenar ‘pengganas dunia’?

http://palestinkini.info/index.php

Ya Allah!!! Selamatkan saudara-saudara kami di Palestin dari kekejaman laknatullah yahudi. Ya Rabbal 'Alami...

Apr 5, 2008

PULAU PRODUK BELANDA!!!

Kaum muslimin adalah diingatkan agar berhati-hati dalam memilih produk-produk yang ingin dibeli dan diguna seharian. Ini kerana, ahli majlis perundangan belanda geert wilders telah menerbitkan filem yang menghina kesucian agama Islam. Jadi bagi menyatakan bantahan, kaum muslimin hendaklah bersatu dan bersama-sama menolak produk mereka. Berikut adalah senarai produk dari Belanda yang ada di Malaysia. Maklumat diperolehi dari laman web Persatuan Pengguna Islam Malaysia. (PPIM);
  1. Dutch Lady - Susu
  2. Ferrero Roche - Coklat
  3. Wall’s - Ais Krim
  4. Ing -Insurans
  5. Planta -Magerin
  6. Lady’s Choice -Magerin
  7. Lipton -Teh
  8. Shell -Minyak
  9. Knorr -Perisa Makanan
  10. Dove -Mandian
  11. Sunlight -Magerin/Pencuci Pinggan
  12. Radiant -Deodoran
  13. Rexona -Deodoran
  14. Ponds -Produk Kecantikan
  15. Kieldsens -Coklat
  16. Slimfast -Produk Pelangsing
  17. Lego -Kismis
  18. Philips -Barangan Elektrik
  19. Duyvis -Makanan Ringan
  20. Gouda -Keju
  21. Robin -Pencuci Lantai/Pakaian
  22. Ariel -Pencuci Lantai/Pakaian
  23. Omo -Pencuci Lantai/Pakaian
  24. Labello -Lip Balm
  25. Pickwick -Teh
  26. Venz -Mentega Coklat
  27. Kinder Bueno -Coklat
  28. Unilever -Syarikat
  29. -
  30. -
  31. Sunsilk -Shampoo
  32. Fair & Lovely -Produk Kecantikan
  33. Lux -Mandian
  34. Vaseline -Lip Balm
  35. Cif -Pencuci Lantai
  36. Surf -Pencuci Kain
  37. Wishbone -Pencuci Kain
  38. Doriana - Keju Krim
  39. Bertolli -Minyak Masak
  40. Clear -Shampoo
  41. Breeze -Pencuci Kain
  42. Sun -Pencuci Kain

Produk Dumex dan Nutricia telah digugurkan dari senarai di atas kerana pihak pengurusan NUMICO DUMEX (MALAYSIA) SDN BHD telah menghubungi pengurusan tertinggi PPIM dan mengesahkan syarikat mereka telah diambil alih oleh Danone Group sejak akhir 2007 dan menggunakan nama Danone Dumex yang berasal dari Perancis.-admin PPIM-

//http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/main.php

FILEM HINA ISLAM: MAHATHIR GESA DUNIA ISLAM BOIKOT PRODUK BELANDA


KL: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru umat Islam di seluruh dunia memulaukan produk Belanda sebagai satu bantahan berkesan berikutan sebuah filem Belanda, Fitna, yang mengkritik Al-Quran yang disiarkan di Internet.

Beliau berkata pemulauan itu boleh menyebabkan Belanda lumpuh kerana umat Islam meliputi sebahagian besar penduduk dunia yang kaya dan juga pengimport terbesar.

Bagaimanapun, semua 1.3 bilion umat islam di dunia mestilah bersatu dan meletakkan kepentingan Islam dan umat Islam daripada keperluan individu jika mahukan pemulauan ini berkesan.

"Kalau orang Islam bersatu kita mudah saja ambil tindakan. Kalau kita pulau barangan dari Belanda dia tutup negeri, pasal yang beli banyak sekali, yang kaya sekali di dunia ini adalah orang Islam. "Kalau semua 1,300 juta orang Islam kata kami tidak kan beli barang dari Belanda, maka barulah berkesan. "Kalau nak pulau buatlah betul-betul.

Tapi orang kita kata, dia (Belanda) pun berniaga dengan kita juga, kalau kita tahan dia, dia rugilah. Jadi (kalau begini) kita tak fikir sebagai orang Islam, kita fikir untuk kepentingan diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-46 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Filem Fitna itu, selama 15 minit yang disiarkan dalam sebuah laman web pada 27 Mac yang mengkritik Islam, yang menunjukkan surah Al-Quran dengan berlatar belakangkan imej keganasan akibat serangan pengganas.

Ahli majlis perundangan Belanda Geert Wilders menerbitkan filem itu, yang menunjukkan kenyataan daripada paderi yang radikal dan menyebut surah Al-Quran dengan diselitkan imej serangan 11 Sept terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, pengeboman kereta api penumpang di Madrid, Sepanyol pada 2004 dan pembunuhan pengelur filem Belanda Theo van Gogh di Amsterdam street pada akhir tahun itu.

Sebelum itu, Dr Mahathir berkata filem tesebut disiarkan berikutan salah faham dan "sudah pasti ada motif kritikal".

"Mereka akan terus berbuat demikian sehingga kita menunjukkan Islam itu satu agama yang baik, kita bukan orang yang ganas, bahawa kita tidak berbohong kepada orang ramai...tetapi ini mesti ditunjukkan dalam amalan oleh masyarakat Islam ," kata beliau.

http://jasindaily.blogspot.com

http://www.ppcpercuma.com/cgi-bin/go.cgi/89055

Apr 2, 2008

Menunaikan Tanggungjawab dan Amanah

Alhamdulillah...

Syukur kehadrat Ilahi di atas segala nikmat yang tidak dapat dihitung dianugerahkan kepada hambaNya. Kita sebagai hamba dan Allah sebagai 'Tuhan' sepatutnya meneliti kembali apakah tanggungjawab yang telah diberikan oleh 'Tuhan' Yang Maha Esa.

Apakah tanggungjawab dan amanah itu telah kita jalankan sesempurnanya atau separuh atau pun paling tidak secebis darinya. Amanah dan tanggungjawab yang diberikan janganlah sesekali dikhianati. Dengan demikian dikhuatiri kita terjebak dalam golongan orang-orang munafik. Sebagaimana mafhum dari hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam:

Tanda orang munafik tiga perkara; apabila bercakap berdusta,
apabila berjanji dimungkiri, apabila diberi amanah dikhianati.

Dengan itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri adakah kita benar-benar menunaikan tanggungjawab yang diberikan atau sebaliknya, di samping memperbanyakkan menyebut kalimah-kalimah suci mengagongkan kebesaran Ilahi...

"Subhanallahi wabihamdihi Subhanallahil A'ziim"
Astaghfirullahal a'ziim"

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured