Jul 28, 2008

Katakan Yang Benar Meskipun Pahit


Bismillahir rahmanir rahim, selawat dan salam ke atas junjungan mulia nabi Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam… amma ba’du;

قُلِ اْلحَقَّ وَلَوْ كَانَ مُرًّا

Katakan yang benar walau pun pahit. Itulah kalimah mutiara yang pernah diajarkan oleh nabi junjungan Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam tentang bercakap benar.

Seseorang yang melakukan sesuatu kebaikkan akan merasa senang dan tenang apabila melalukannya kerana tidak ada dalam dirinya pertentangan tentang perbuatannya itu, malah akan terus mendorong untuk melakukannya di lain masa.


Namun, konflik dalam diri akan terjadi apabila seseorang itu melakukan sesuatu nilai yang menyalahi kebenaran. Maka dirinya akan merasa resah dan gelisah di atas perbuatan yang telah dilakukannya itu. Mungkin batinnya akan memberontak sehinggakan tidak dapat tidur apabila memikirkan tentang kejadian atau pembohongan itu.

Dikala itu, sepatah kebenaran yang akan diucapkan bagi menutupi kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan amat susah dan pahit untuk ditelan melainkan ia memiliki iman yang mantap dengan mengakui akan kesilapan yang terlanjur.

Apatah lagi jika yang melakukannya itu adalah seseorang yang disegani akan keperibadiannya, namun kebenaran tetap ditunggu-tunggu. Bukan untuk menghina, malah jauh sekali menghukum, apa yang penting sikap berani kerana benar itu adalah teras utama dalam kebenaran. Teruskan berjuang ke arah kebenaran.

Ayuh wahai saudaraku, rapatkan saf teguhkan ukhuwwah agar tiada lagi ruang-ruang yang membolehkan syaitan laknatullah menembusi benteng-benteng yang telah lama dibina atas dasar keimanan dan kebenaran.

Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Apa yang penting kembali kepada kebenaran dan jamaah itulah yang paling bernilai dari terus tersesat dibawa arus keduniaan.

Pembohongan merupakan pintu kemunafikan, maka kejujuran merupakan pintu amanah.

Katakan benar meski pun pahit.

Jul 18, 2008

Sejarah Ketegasan dan Penahanan Pejuang Islam Terpahat di Hati

Bismillahir rahmanir rahim…

Alhamdulillah syukur tidak terhingga ke hadrat Ilahi dan selawat serta salam ke atas junjungan tercinta nabi Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam…

Beberapa hari lepas, pengendali terbaca kisah sejarah para ulama dan pejuang Islam silam diseksa dan dipenjara semata-mata ingin menegakkan kebenaran Islam dan kearah mencapai zaman kegemilangannya kembali.

Mereka adalah ulama-ulama yang diiktiraf aliran mazhab sehingga ke hari ini, antaranya Nukman bin Thabit atau lebih dikenali sebagai Imam Abu Hanifah rahimahullah yang mashur dengan aliran mazhabnya ‘Hanafi’. Beliau dilahirkan di Kufah pada 80H dan meninggal dunia pada 150H ketika berumur 70 tahun.

Pengalaman Imam abu Hanifah dalam mempertahankan agama dan kedaulatan negara ialah di mana beliau dipenjara dan disebat 100 kali sebatan kerana enggan menerima jawatan sebagai kadi di Kufah.

Beliau juga pernah dipenjara kerana menolak jawatan juru tulis surat rasmi kerajaan Bani Umaiyah. Dipenjara kerana menolak jawatan hakim di Baghdad. Beliau meninggal dunia semasa dalam tahanan akibat diseksa dengan pelbagai seksaan.

Selain itu, Malik bin Anas bin Malik bin Amar al-Haris yang lebih dikenali dengan gelaran Imam Malik rahimahullah. Lahir pada tahun 93H bersamaan 713M di Madinah dan meninggal dunia pada tahun 179H bersamaan 798M pada umur 86 tahun.

Antara ketegasan yang ditonjolkan Imam Malik ialah menentang pendapat gabenor yang menentang fatwanya. Beliau sanggup dipukul kerana mempertahankan Islam. Sifat keberanian beliau dapat dilihat apabila berani menegur khalifah Abu Jaafar al-Mansur yang meninggikan suara ketika bermuzakarah dalam majlis ilmu.

Ahmad bin Muhammad bin Hambal atau dikenali Imam Ahmad bin Hambal. Imam Ahmad Hambali pernah dipenjara dan dipikul dengan cemeti sehingga berdarah seluruh badan oleh khalifah Abbasiyah kerana menolak pendapat Muktazilah yang mengatakan bahawa al-Quran adalah kalam Allah subhanahu wataala yang bersifat baharu, yang mana bercanggah dengan pemikiran Ahli Sunnah wal Jamaah.

Ramai lagi tokoh-tokah Islam yang menderita di sepanjang hidup mereka semata-mata ingin melihat kebenaran Islam dapat ditegakkan. Namun usaha murni mereka tidak dapat dipadamkan dengan sebarang ugutan malah seksaan.

Ayuh teruskan berjihad demi kebenaran Islam tercinta! Wassalam…

Jul 6, 2008

Mengumpat dan Memfitnah Adalah Dosa Besar

Bismillahir rahmanir rahim...
Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi Yang Maha Agung serta selawat dan salam ke atas junjungan tercinta nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dan ke atas keluarga baginda serta sahabat-sahabat baginda seluruhnya...


Sebelum meneruskan perbincangan ini, izinkan pengendali memohon kemaafan di atas ketiadaan bahan untuk tatapan pengunjung ke teratak ini disebabkan tugas-tugas yang perlu disegerakan dahulu.

Akhir-akhir ini, negara telah dihebohkan dengan kes fitnah memfitnah, tuduh menuduh tanpa sebarang bukti dan penghakiman terhadap perkara tersebut. Ini akan memburukkan lagi maruah dan imej Islam di mata dunia akibat tuduhan tersebut.

Izinkan saya
memberi definisi kedua dua perkara di atas serta membicara secara ringkas tentangnya;

Mengumpat: Mengata atau menceritakan keburukan seseorang di masa ketiadaanya serta boleh menimbulkan kemarahan apabila dilakukan di hadapanya.

Memfitnah: Melemparkan tuduhan kepada seseorang tanpa bukti.

Mengumpat dan memfitnah adalah perbuatan yang sangat dilarang dalam Islam kerana kedua duanya boleh memusnahkan hubungan silaturrahim dan sekali gus merosakkan keharmonian kehidupan bermasyarakat. Maka bertepatanlah dengan ayat 191 surah al-Baqarah;

والفتنة أشد من القتل
Bermaksud: Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya dari daripada membunuh.

Antara sebab-sebab berlakunya perbuatan keji ini;
  1. Wujudnya sifat iblis dan syaitan dalam diri manusia yang tidak senang hati apabila saudara mereka mendapat kesenangan bahkan merasa terhibur apabila saudara mereka ditimpa musibah dan derita.
  2. Makhluk terkutuk sahaja yang tergamak melakukan perbuatan tersebut akibat perasaan iri hati dan hasad dengki (sifat syaitan laknatullah) yang melampau terhadap kelebihan yang ada pada orang lain.
  3. Manusia seperti ini juga mempunyai perasaan takut (pengecut) untuk bersaing dalam menghadapi cabaran hidup yang penuh dengan cabaran dan halangan, serta memastikan hanya golongan mereka sahaja yang layak berada di tempat teratas.
Akibat mengumpat dan memfitnah;
  1. Hubungan silaturrahim akan terputus, masyarakat kucar kacir, negara tidak akan makmur seperti sebelumnya. Ingatlah barang siapa memutuskan hubungan silaturrahim tidak akan masuk syurga.
  2. Berlaku permusuhan dan huru hara, hidup akan menderita di dunia dan yang tentunya tidak akan terlepas dari azab neraka yang amat pedih di akhita kelak.
  3. Membuka jalan kepada musuh-musuh Islam menghapuskan syiar dan umat Islam.
Wahai kaum muslimin, umat Islam sedang diratah di serata dunia bagai harimau kelaparan meratah daging. Tidakkah kalian merasa marah dan geram apabila saudara seIslam diperlakukan sedemikian. Bagaimanakah perasaan kita sanggup melihat ibu bapa dan adik beradik serta saudara mara dalam keadaan demikian...

Renungakanlah wahai saudara ku... Umur dunia semakin singkat, kemusnahan dunia pasti berlaku, tanda-tanda sudah terbongkar, insaflah dan bertaubatlah...

Wassalam...

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured