May 21, 2008

Menghargai Kehidupan

Maksud hadis;

Daripada Abdullah ibnu Umar radhiallahu ‘anhu katanya, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memegang bahuku seraya bersabda: Jadilah diri kamu di atas dunia ini sebagai seorang perantau. Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang janganlah tunggu menjelangnya waktu pagi, apabila kamu berada waktu pagi, janganlah tunggu menjelangnya petang. Gunakanlah peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa kamu hidup untuk persediaan matimu”. (Riwayat Bukhari)

Hidup ini terlalu singkat jika dibandingkan dengan kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi. Oleh itu, dunialah tempat kita mencari bekalan sebanyak mungkin untuk di bawa ke alam akhirat seperti ilmu, beribadat, bersedekah dan sebagainya.

Kita tidak sepatutnya leka dengan kehidupan dunia yang sementara ini hinggakan lupa negeri yang kekal abadi iaitu akhirat. Dunia hanyalah tempat persinggahan seperti seorang musafir berhenti di tempat persinggahan untuk mengumpul tenaga dan bekalan bagi meneruskan perjalanan yang jauh.

Marilah kita sama-sama merenung kembali di manakah destinasi terakhir hidup ini? Bekalan apakah yang akan dibawa ke negeri yang kekal abadi? Cukupkah bekalan itu yang kita kumpul selama ini? Hanya diri kita sendiri yang mampu menjawabnya…

Come my brothers let us pray,

Decide which now do not delay!!!

May 19, 2008

Maafkan Daku

Bismillahir rahmanir rahim...
Alhamdulillah selawat dan salam kepada rasulillah dan keluarganya.

Alhamdulillah sekali lagi dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpahnya dapat lagi daku bersama teman-teman di alam siber ini bertukar-tukar pendapat dan pandangan.

Pengendali memohon maaf dari sahabat-sahabat sekalian kerna menyepikan diri beberapa hari, disebabkan masalah teknik di luar kemampuan pengendali. Almaklumlah, kawasan pulau yang bergantung kepada satu janakuasa bekalan letrik yang jika terputus maka ia mengambil masa beberapa hari.

Buat masa sekarang bersyukur ke hadrat Ilahi.

Wassalam

May 16, 2008

SELAMAT HARI GURU

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Sempena 16 Mei 2008 ini, saya ingin mengucapkan

'SELAMAT HARI GURU'

kepada seluruh warga pendidik sama ada dari kerajaan atau swasta, pertubuhan atau persendirian, yang penting anda telah mendidik anak bangsa ke arah kecemerlangan

Sama-samalah kita menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Ingatlah wahai guru! Jasamu amat bernilai. Ilmu yang kau curahkan setiap masa akan dibalas berlipat ganda.

Ilmu yang bermanfaat akan terus diberi ganjaran pahala hingga ke alam barzakh.

May 10, 2008

Di manakah Tanggungjawab Kita Terhadap Saudara SeIslam??


Bismillahir rahmanir rahim…

الحمد لله، اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أم بعد:

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah rahmatnya.

Terlebih dahulu diri ini memohon maaf kepada teman-teman yang berkunjung ke blog ini kerana agak lama tidak dipaparkan maklumat terkini. Beberapa kerja yang perlu disegerakan terpaksa dibereskan dahulu.

Di sini, hamba ingin berkongsi maklumat dengan teman-teman sekalian… walaupun diri ini pada hakikatnya dipenuhi dengan noda dan dosa setiap masa, namun rasa tanggungjawab terhadap kesucian agama Islam tetap menjadi fokus utama dalam kehidupan.

Baru-baru ini kita telah dihebahkan dengan beberapa kes berkaitan saudara seIslam yang secara tersembunyi dan terang-terang berhasrat menukar status agama kepada selain daripada Islam atau dengan jelasnya “keluar Islam”.

Kita juga dihidangkan dengan pelbagai tuntutan dari peringkat atasan hingga ke pertubuhan yang inginkan status agama di negara Malaysia ini disamaratakan kedudukannya agar dapat dinikmati keselesaan dan kemudahannya secara bersama, dengan kata lain, tiada peraturan yang menyekat dari memeluk mana-mana agama.

Apa yang ingin hamba kongsikan dengan teman-teman bukanlah perkara-perkara yang dinyatakan di atas. Namun ia berkaitan dengan tanggungjawab kita terhadap saudara seIslam kita.

Suka hamba bertanyakan beberapa soalan terutama kepada empunya diri, Apakah yang telah hamba lakukan terhadap saudara seIslam? Adakah hamba berkawan hanya untuk mengisi masa lapang atau masa ‘boring’ sahaja? Atau cukupkah berkawan hanya untuk mengajak keluar makan bersama dan bertegur sapa tak ubah seperti kawan di jalanan? Adakah hamba sekadar berkawan yang tak ubah seperti berkawan semata-mata?? Ya Allah… inikah yang telah hamba lakukan terhadap sahabat-sahabat sekian lamanya…

Setelah beberapa isu tentang saudara seIslam diutarakan di media massa, terdetik di hati kecil ini di manakah jawapan yang akan hamba bentangkan di hadapan Mahkamah Agung di Padang Mahsyar nanti!!! Dapatkah hamba berhujah dengan pelbagai alasan, sedangkan dosa-dosa lain tidak mampu ditanggung lagi.

Apakah yang telah hamba lakukan terhadap saudara seIslam ku ini sehinggakan mereka bertindak menukar KEBENARAN kepada KEBATILAN?

Ingatlah wahai diri ini!!! “Mahkamah Allah” tidak akan bertanyakan tentang kehebatan diri, kehebatan sesebuah parti dan bersangkutan dengannya. Bahkan bertanyakan tentang apa yang telah diri ini lakukan terhadap Islam… hamba tetap mencari dan menunggu jawapannya dan komen dari sahabat-sahabat sekalian amatlah dialu-alukan…

Mohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesalahan dan kesilapan atas pandangan tersebut. Mohon diperbetulkan sehendaknya… Wassalam.


May 3, 2008

Telah Bertaubatkah Aku???

Bismillahir rahmanir rahim…

Alhamdulillah dan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah Yang Maha Esa kerana masih menganugerahkan aku nikmat-nikmat yang tidak terhingga ini. Selawat serta salam ke atas Junjungan tercinta, Nabi mulia sallallahu ‘alaihi wasallam…

Ya Allah… Ampunilah segala dosa aku serta kaum muslimin. Ya Allah aku sering kali meninggalkan perintah Mu dan melakukan larangan Mu, malah tidak terdetik pun di hati ini bahawa Engkau sentiasa memerhatikan setiap gerak geri ku tatkala aku melakukannya.

Ya Allah…Aku juga tanpa segan silu mengharapkan rahmat Mu dan sentiasa memohon kepada Mu untuk dipermudahkan segala urusan serta dijauhi segala kejahatan yang bakal menimpa.

Ya Allah… aku telah banyak melakukan dosa di masa lalu. Maka aku memohon kepada Mu agar dihapuskan segala dosa yang telah dilakukan itu.

Itulah hakikat diri yang hina ini, dia hanya akan sedar ketika hendak melakukan ibadat dan memohon kepada Nya. Maka akan timbullah persoalan; Bagaimana aku ingin beribadat sedangkan aku masih melakukan dosa? Bagaimana aku beribadat sambil menderhaka? Apakah Allah makbulkan doaku?

Sesungguhnya diriku penuh dengan penderhakaan. Dengan demikian, aku terlebih dahulu perlu segera bertaubat membersihkan diri dari perbuatan maksiat, menunjukkan rasa penyesalan agar Allah mengampuni dan membersihkan aku dari segala dosa serta memperkenankan doa-doaku. Lantas aku beribadat pada Nya.

Wassalam…

May 1, 2008

Selamat Hari Pekerja

Bagi semua rakyat Malaysia tak kira kerja apa pun yang penting anda bekerja untuk mencari nafkah dan sebagainya asalkan halal dan diredhai Allah, di sini saya mengucapkan;

"SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA"

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured