Jul 24, 2009

Antara cabaran, halangan hukuman sebat kes syariah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Berita Harian

PELAKSANAAN hukuman sebat syariah sering kali menimbulkan polemik dalam masyarakat di negara kita. Polemik ini terhasil kerana tidak faham mengenai pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat mengikut undang-undang syariah. Tidak keterlaluan jika dikatakan sebat syariah ini sering kali disamakan dengan sebat undang-undang jenayah sivil.

Mungkin juga kerana istilah digunakan terlalu menggerunkan, iaitu sebat. Namun hakikatnya hukuman sebat syariah ini hampir tidak dilaksanakan melainkan di Kelantan. Apakah benar hukuman sebat syariah ini tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

Kesalahan jenayah syariah yang membawa kepada hukuman sebat berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Banyak negeri tidak memakai undang-undang seragam yang diluluskan Majlis Raja-Raja berkaitan undang-undang kesalahan jenayah syariah. Namun begitu, hukuman sebat maksimum yang boleh dikenakan tidak melebihi enam kali sebat.


Berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan yang serius, sebat syariah bukanlah bagi kesalahan yang serius saja. Ia termasuk kesalahan berkaitan akhlak, tatasusila dan juga beberapa kesalahan lain.


Alat untuk menyebat tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan diperbuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Sebelum hukuman sebat dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh Pegawai Perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman berkenaan.

Sekiranya pesalah hamil, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga tamat dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran.


Hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat seperti diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi maksud itu.

Cara sebat:

l Orang yang dilantik melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang. Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah.

l Selepas mengenakan satu sebat, dia hendaklah mengangkat alat sebat itu ke atas dan tidak menariknya.

l Sebat boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

l Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk.

l Jika ketika hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebat, sebat itu hendaklah ditangguhkan sehingga pegawai perubatan itu memperakui bahawa pesalah sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

l Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

Masa pelaksanaan hukuman

l Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman penjara, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan yang berkenaan.

l Sebat itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.

Kanun Acara Jenayah 1998 (CPC)

Kanun Acara Jenayah 1998 ini terpakai kepada sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Sivil. Sebatan jenis ini agak berlainan dengan sebat syariah. Sejarah hukuman sebat di Malaysia sebenarnya tidak berakar umbi daripada Islam.

Ia bermula kerana diperkenalkan oleh Britain. Apabila Negeri-Negeri Selat terbentuk, maka undang-undang jenayah Inggeris juga terpakai. Di Malaysia, ada lebih kurang 50 orang yang diberi kuasa untuk melakukan sebat.

Sebelum 2005, bagi setiap sebat, tukang sebat itu menerima RM3. Selepas 2005, kadar itu dinaikkan kepada RM10 setiap sebatan. Di Penjara Kajang sebatan dilakukan setiap Rabu dan Jumaat.

Halangan dan cabaran

Sebenarnya tidak wujud halangan besar melaksanakan hukuman sebat ini. Namun begitu ada beberapa aspek yang perlu ditekankan bagi melicinkan pelaksanaan hukuman sebat. Antaranya:

l Tidak faham mengenai pelaksanaan hukuman sebat. Antara isu yang ditimbulkan ialah bolehkah pesalah wanita dihukum sebat seperti sekatan di dalam undang-undang sivil. Bagaimana jika wanita itu hamil?

Halangan wanita dijatuhi hukuman sebat hanyalah wujud di dalam CPC yang hanya terpakai kepada prosiding jenayah di mahkamah sivil. Perkara ini dapat difahami kerana sebat di dalam undang-undang sivil membawa kepada kecederaan yang amat ketara. Oleh yang demikian ia dikhususkan kepada orang lelaki saja.

Tiada peruntukan khusus yang melarang hakim syarie menjatuhkan hukuman sebat terhadap wanita. Hakim syarie pula perlu bijak dengan menangguhkan hukuman sekiranya pesalah wanita itu hamil. Hukuman sebat boleh ditangguhkan selepas dua bulan bersalin. Sekiranya dijatuhkan juga hukuman sebat, maka hakim syarie boleh mengeluarkan bon kepada pesalah sehingga wanita itu melahirkan anak.

l Persediaan melaksanakan hukuman sebat. Saya difahamkan semua pegawai penjara yang melaksanakan hukuman sebat sudah dilatih menjalankan hukuman sebat syariah. Mereka sudah bersedia melaksanakan tugas mereka, namun tiada pelaksanaan dilakukan melainkan di Kelantan.

l Hukuman sebat dikenakan tetapi pemenjaraan tidak dihukum.

Perkara ini sebenarnya sudah pun dikanunkan. Dalam hal pesalah itu dihukum sebat saja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman sebat dilaksanakan.

Hakim syariah juga boleh menggunakan ‘judicial creativity’ dengan mengeluarkan bon jaminan kepada pesalah sehingga pelaksanaan hukuman sebat itu.

Adakah hukuman sebat syariah sama dengan sebat sivil?

Ngeri melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat syariah. Ramai yang menyamakan sebat sivil ini dengan sebat syariah. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang selepas dua tahun disebat.

Undang-undang berkaitan dengan kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman sebat berbeza antara negeri. Lebih banyak kesalahan sepatutnya boleh dikenakan hukuman sebat.

Sebagai contohnya denda di dalam kes khalwat tidak mampu membendung gejala sosial ini yang semakin berleluasa.

Walaupun memang ada peruntukan kesalahan, hukuman sebat amat jarang dijatuhkan melainkan di Kelantan dan Pahang. Oleh yang demikian pelaksanaan hukuman ini belum lagi diuji sepenuhnya.

Ada banyak bantahan diutarakan daripada ahli akademik, aktivis hak asasi manusia dan peguam terhadap hukuman sebat ini. Majlis Peguam sudah meluluskan satu resolusi yang menegaskan bahawa sebat itu adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan amat menyeksakan. Majlis Peguam mendesak kerajaan menghapuskan hukuman sebat.

Hukuman sebat syariah agak berbeza dengan sebat sivil. Walaupun peruntukan hukuman ini sudah lama wujud, pelaksanaannya masih lagi belum meluas. Sudah sampai masanya hukuman ini dijatuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya.

Halangan yang ada adalah halangan bersifat metafora dan bukan halangan sebenar. Hukuman sebat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana agensi yang berkaitan seperti penjara sudah bersedia melaksanakannya.

Malah hakim-hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah oleh pegawai penjara mendapati ia tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak.


Penulis ialah Penolong Setiausaha Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Jul 20, 2009

Ini Bukan Sikap Orang Islam!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selawat dan salam ke atas Nabi MUhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Inilah senario yang sering berlaku di sekeliling kita :

Apabila saudara kita dalam kesusahan, siapakah yang pertamanya akan menghulurkan tangan untuk membantu mereka?

Di dalam kesesakan jalanraya, bunyi hon bersahut-sahutan. Rupa-rupanya di situ ada kemalangan. Dan pemandu membawa kereta dengan perlahan-lahan hanya untuk melihat kemalangan dan kemudian berlalu pergi.

Seorang pelajar tersangkut kainnya di eskelator di KLCC, yang membantu bertungkus lumus adalah orang bukan Islam. Manakala saudara seIslam hanya tukang pemerhati sahaja.

Seorang wanita bersama suaminya terjatuh dari motor kerana si peragut yang kejam telah mencuri tas tangan wanita terbabit sekaligus menendang motor yang dibawa oleh suaminya, dalam keadaan sedih dan meminta tolong melihat suaminya yang nazak, orang di kiri kanan hanya sebagai pemerhati. Sehinggalah putus nafas si suami..

Masih ada persepsi diri yang menyatakan ustaz dan ustazah yang perlu menunjukkan contoh yang baik. Tetapi masih kurang kesedaran bahawa sepatutnya setiap diri orang Islam itulah yang perlu menunjukkan contoh yang terbaik untuk dicontohi. Jika mereka ustaz, orang alim, bukankah diri kita sendiri pula adalah terdiri dari orang Islam yang menjunjung tinggi al Quran, Sunnah dan ijmak?

Ada ketikanya semasa hendak menghulurkan bantuan dari segi kewangan seperti di tabung masjid, surau, atau memberikan sumbangan untuk majlis di sekolah-sekolah yang berbentuk kerohanian atau yang membina modal insan hati kita akan 'bertarik tali'. Malah perlu diminta berkali-kali. Jumlah wang yang hendak diberi bermulanya tinggi, kemudian banyak lagi alasan yang akan datang bertalu-talu sehinggalah jumlah bantuan semakin kecil dan ada juga akhirnya - 'tak mengapalah lain kali sahaja untuk bersedekah'.

Sedangkan untuk tujuan bermegah dengan kejayaan yang dicanang selama ini selain bidang kerohanian amat senang sekali diberi dan diluluskan. Wahai.. nampaknya kemenangan syaitan menyalurkan perasaan bakhil telah bertapak di sanubari sana.

Akhirnya perasaan untuk berlumba-lumba membuat kebaikan itu semakin sirna begitu sahaja..

Ada pula kisahnya, orang yang alim lagi faqih (segelintir sahaja) hanya memerhatikan sahaja keletah umat Islam yang diserang dengan fahaman-fahaman dan ideologi sonsang, gejala sosial semakin membarah di dalam perut umat Islam. Dia kata nantilah, biarkanlah.. akhirnya barah itu membusuk dan pecah.. 'sudah terhantuk baru terngadah'.

Anak Orang Anak Kita

Orang kita dahulu bila melihat anak orang lain berdua-duaan, ada melakukan kesilapan pastinya mereka akan ditegur. Berlainan pula di zaman sekarang. Sebab sudah ada mentaliti yang merasakan bahawa anaknya jangan diusik walaupun salah. Walhal perkembangan anak-anaknya bukanlah dapat dipantau sepanjang masa.

Sekolah pula adalah tempat didikan dan ajaran bukan sebagai taman asuhan kanak-kanak.

Semangat kejiranan, tolong menolong, mengambil tahu sudah semakin terhakis di dalam hati dan minda orang kita kini. Kalaulah mereka faham bahawa setiap umat Islam itu bersaudara bagaikan batu bata yang memperkukuhkan antara satu dengan yang lain, tentulah tidak timbul masalah sosial yang melambak di sana sini.

Jomlah kita fikir dan ambil tindakan..

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured