Jun 15, 2009

Kembalinya Sebutir Permata "Dr. Fathi Yakan"


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Setelah 2 minggu bercuti bersama keluarga tercinta. Amat jarang sekali daku menjenguk blog-blog sahabat. Namun setelah habis tempoh bercuti kembalilah daku ke tempat bertugas.

AL-FATIHAH

Namun hati sedikit tersentak bila mana terbaca berita tentang kembalinya sebutir permata yang sangat berharga kepada dunia Islam Dr. Fathi Yakan pada 13 Jun 2009.

Hasil karyanya amat bermakna dalam meneruskan perjuangan dan mengembalikan kegemilangan Islam yang juga menjadi bahan bacaan dan rujukan utama daku ketika mengendalikan usrah mingguan.

Antara buku yang menjadi bahan rujukan daku ialah "Apa Ertinya Saya Menganut Islam?" {Mazha Yakni Intimai Lil Islam?}

Semoga ruh Dr. Fathi Yakan ditempatkan bersama ruh para syuhada', solihin dan di tempatkan pada makam yang tertinggi di syurga.

Inna lillahi wa inna ilaihi raji'uun
AL-FATIHAH
Profil Dr. Fathi Yakan

Dr Fathi Yakan ialah ulama dan pendakwah Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku di antaranya Maza Ya'ni Intimai lil Islam, al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.

May 29, 2009

Belajarlah Dari Alam Sekeliling

Bismillahir rahmanir rahim.
Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Belajarlah dari MATAHARI:
Adil menebar cahaya dan memberikan kehangatan kepada semua, baik yang terawang-awang di angkasa mahupun yang bertebaran di atas bumi, kepada yang miskin mahupun yang kaya, yang mulia hatinya juga buat si kejam, kepada semua makhluk ciptaan Ilahi.

Belajarlah dari BUNGA:
Sentiasa tersenyum menyebarkan harumannya menghadiahkan kecantikan untuk mengubat hati yang gundah, juga menggembirakan setiap mata yang memandang.

Belajarlah dari LEBAH:
Sentiasa berganding bahu, bekerja dengan hati yang riang dan semangat membara.

Belajarlah dari POKOK:
Menghadiahkan buah yang manis dan segar sambil menundukkan dahannya.

Belajarlah dari BULAN:
Tenang memancarkan cahayanya yang kemilau dan indah buat menyuluh malam yang gelap.

Belajarlah dari SUNGAI:
Tabah bergerak menuju ke destinasi dengan meredah apa saja halangan hinggalah sampai ke muaranya. Airnya lembut dan tenang tapi tiada suatu pun mampu menghalang kemaraanya.

Belajarlah dari DAUN yang luruh:
Sabar ketika menghadapi kesukaran. Sentiasa tabah menunggu hari yang baik dan sesuai untuk tumbuh kembali.

Belajarlah dari HUJAN:
Kehadirannya dinanti-nantikan buat penyejuk alam yang hangat, membasahi kekeringan, menghijaukan tanah yang gersang dan memberi nyawa kepada tumbuhan.


Lihatlah ke dalam diri, pelajarilah sifat-sifat alam yang dicipta Sang Penguasa Agung. Kita juga sebahagian daripadanya.

Sumber: http://al-pakri.blogspot.com/2008/12/belajarlah.html

May 24, 2009

Saya Mesti Muslim di Sudut Aqidah: Aqidah siri 6

Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillahi rabbil 'alamin wasollatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wa sohbihi ajma'in. Amma ba'du;

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikkan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Ini kerana manusia telah dikuniakan akal fikiran untuk memikirkan dan membuat pilihan (takhyir) yang mana baik bagi dirinya untuk diamalkan berdasarkan peraturan Islam dan menjauhi segala larangan dan kejahatan.

Namun demikian, kebaikkan yang dilakukan itu tidaklah berlaku melainkan dengan taufiq dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang batasan dan keizinan Allah serta kehendakNya, pembaca digalakkan merujuk kepada kitab-kitab yang menghuraikan tentangnya dengan lebih jelas. Pengendali tidak mampu menghuraikan bahagian ini secara terperinci kerana keterbatasan kajian ilmu yang dimiliki.

7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah Subhanahu wata'ala. Adalah amat tidak wajar sama sekali manusia yang memiliki segala kelemahan dan keterbatasan ilmu untuk mendahului atau membelakangi segala undang-undang dan peraturan yang telah Allah tetapkan.

Walau bagaimana pun, terdapat di sana beberapa perkara yang dibolehkan untuk berijtihad dan mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Namun tidaklah mudah untuk kita yang bergelar manusia biasa dengan sewenang-wenangnya boleh mengeluarkan sesuatu hukum. Ianya hanya dikhususkan kepada mereka yang pakar dalam ilmu agama sahaja (contoh ilmu usul fiqh dan fiqh) yang dipanggil sebagai "alim ulama", "tok guru", "jamaah mufti" dan sebagainya yang sememangnya terbukti kepakaran mereka dalam bidang tersebut.

Janganlah kita mengeluarkan hukum sewenangnya contohnya, tidak usah bersolat jika terlalu sakit atau terlantar dikatil hospital kerana susah untuk bergerak. Atau ramai yang beranggapan tidak dapat mengerjakan solat sekiranya tempat yang dituju itu tiada tempat solat. Apakah kita lupa bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ada menyebut bahawa hamparan bumi ini adalah suci untuk melakukan solat.

Wallahu a'lam.

May 18, 2009

Saya Mesti Muslim di Sudut Aqidah: Aqidah siri 5


Bismillahir rahmanir rahim.
Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Bersambung perbincangan bagi pemantapan aqidah menurut ulasan ustaz Fathi Yakan, antaranya;

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan dan lahirnya insan ke dunia ini ialah untuk mengenali Allah 'azza wa jalla, dengan memberi sepenuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Sebagaimana telah diungkapkan dalam al-Qur'an Surah al-Zariyat 51: Ayat 56-58;
Mafhumnya;

"Dan tidaklah Aku mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh".

Itulah tujuan yang utama manusia dilahirkan ke dunia ini. Mencari ilmu pengetahuan agar dapat mengenali Sang Pencipta dengan lebih dekat seterusnya memberi sepenuh ketaatan dan pengabdian tanpa berbelah bagi kepadaNya.

Bukan ketika solat sahaja hanya kepada Allah hati diniatkan, bahkan ketika berjalan, makan, bekerja, tidur hatta ke tandas pun hati dipusatkan hanya beribadat kepada Allah. Supaya setiap langkah yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Islam dalam keredhaan Allah.

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah Syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi durhaka ialah api neraka.

Sungguh adil perhitungan dan pembalasanMu ya Allah. Maha Adil Allah taala sehinggakan setiap zarah kebaikkan yang dilakukan oleh mukmin akan tetap dibalas dengan kebaikkan. Manakala sebesar zarah kejahatan yang dilakukan pendurhaka tetap ditimpa balasannya.

Maka di manakah lagi jalan keluar bagi mereka yang mendurhakai perintah Allah kerana setiap detik perbuatan baik dan jahat dikira dan dicatat oleh pencatat yang setia di kanan dan kiri manusia iaitu Raqib dan 'Atid.

Jika hari ini seorang pembesar berkuasa, jika hari ini seorang peguam menang bicara, jika semua itu terkeluar dari landasan Islam pada hal mereka mengetahuinya maka tunggulah balasan azab yang tiada terperinya menanti di sana.

Apakah manusia pembelot, pengkhianat, pendusta dan perosak umat mampu mendabik dada tatkala membelot, mengkhianati, mendustai serta merosak umat dengan amanah yang Allah kurniakan!


Ketahuilah! Di sana hanya dua balasan yang akan diterima manusia dan jin sama ada Syurga atau Neraka. Dengan ini, saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi mukmin yang taat kepada perintah Allah ialah Syurga. Manakala orang yang engkar perintah Allah adalah Neraka.

Wallahu 'alam.

May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, selawat serta salam ke atas nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Bersempena 16 Mei ini, daku ingin merakamkan ucapan;

SELAMAT HARI GURU

kepada mereka yang bergelar pendidik yang telah banyak berjasa bagi mendidik anak bangsa ke arah kecemerlangan di masa depan.

Wahai cikgu, jasamu tetap ku kenang, dalam doaku tetap ku pinta semoga Allah sentiasa merahmati insan yang bergelar guru dan pendidik ini.

Bebanan tugasmu sering dipandang ringan di mata mereka, namun hatimu jua yang mengetahui. Teruskan berjuang mendidik anak bangsa wahai guru...

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...