Mar 21, 2008

Mengenang Tok Guru Haji Abdullah Lubok Tapah


Oleh Mohd Sayuti Omar 5.20pm | 20 Mac

“Banyak yang hendak diperkatakan dan dicoret mengenai almarhum Haji Abdullah Abdul Rahman (Tok Guru Haji Lah) yang kembali ke Rahmatullah pagi semalam. Sepanjang perjalanan ke Kota Bharu pagi tadi untuk menziarahi jenazahnya dalam sebak dan sedih, saya seakan hilang punca di mana harus dimulakan coretan sebagai mengenang Allahyarham.
SMS yang diterima dari Haji Rushdan Mustafa yang memberi khabar duka itu mengejutkan. Kurang 24 jam (malam) sewaktu makan bersama Rusdhan dan dua orang teman di Taman Melawati, saya sudah membicarakan hal Tok Guru berkenaan.

Keuzuran bertambah
Apa yang tersebut di situ ialah mengenai kesihatanya membimbangkan. Saya jadi tersimak ketika Rusdhan memberi tahu keuzurannya bertambah. Saya teringat kunjungan saya ke rumahnya di Lubok Tapah beberapa hari sebelum hari penamaan calon pada pilihan raya lalu.

Kesihatanya ketika itu sudah agak tenat. Beliau tidak dapat bangkit dan berjalan sendiri. Kena papah dan dipakaikan lampin. Beliau hanya mampu terlantar atas katil. Namun begitu Allahyarham masih kenal saya dan cuba beramah seperti biasa. Namun keuzuran menyebabkan dia hanya merenung dan tersenyum saja sambil menangguk-anggukkan kepala.
Sebaik diperkenakan oleh Haji Hussein Ibrahim (sepupunya), beliau merenung ke muka saya dan seperti biasa bertanya sudah makan ke belum? Walaupun dia tidak berkeupayaan namun feel semula jadinya itu (suka meraikan tamu) tidak berubah.
Inilah sifat Allahyarham yang memalukan saya. Beliau akan tangani sendiri tetamu dengan mengangkat dulang air dan menuangkan dalam gelas atau cawan. Kalau makan nasi pula beliau akan berdiri dan memastikan tetamu makan dengan kenyang. Beliau pula akan sibuk-sibuk menjadi ‘jong kako’.
“Dia mari kerana rindu kepada Tok Guru,” begitulah bisik Haji Ibrahim di telinganya. Tok Guru mengangguk dan terus merenungi tepat dan dalam ke muka saya. Renungan yang dalam dan sayu itu menyebabkan hati menjadi sebak dan mata saya basah dengan air mata.

Apa yang terkenang ketika itu ialah tentang ketinggian dan keluhuran budi pekertinya. Walaupun beliau seorang ulama dan tok guru namun beliau tidak merasakan beliau lebih gah dan agung daripada orang lain. Tok Guru tidak sedikit pun merasakan beliau perlu disanjung dan dihormati berlebih-lebihan. Allahyarham tidak seperti sesetengah orang politik baru dapat kuasa dunia secubit hidung sudah jadi tinggi mengalah!
Sukar rasanya untuk saya berpisah dengan Allahyarham pada hari itu. Entah macam mana terbetik dalam hati semacam kunjungan itu adalah untuk kali terakhir. Selepas bersalam mencium tangan dan dahinya, saya meninggalkan Tok Guru dengan perasaan amat berat….”


Tidak tidur
Itulah catatan sebelum Subuh tadi. Kerana keletihan sebab seharian tidak tidur saya tersenguk atas laptop dan catatan itu terhenti di situ!
Semasa tiba di perkarangan pondok Lubok Tapah semalam perasaan sebak menyelinap dalam dada. Apa lagi melihat manusia berduyung-duyung datang untuk menyembahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Sepanjang jalan menuju ke rumahnya dipenuhi manusia.

Ketika saya sampai jenazah sedang dikafankan di suatu sudut di rumhanya. Para anak murid dan orang ramai yang datang dari jauh dan dekat memenuhi ruang pengafanan.
Ruang dalam masjid berhampiran rumahnya pula penuh sesak dengan manusia. Semuanya datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham. Selepas Asar jenazah Allahyarham di bawa ke perkuburan Lubok Tapah yang terletak kira-kira 1 setengah kilometer dari rumahnya di kawasan pondok.
Lebih 5,000 orang menyembahyangi solat jenazah Allahyarham yang diimami oleh anak lelakinya Dr Lokman. Turut sama ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra. Katanya Tengku Faris sejak pagi-pagi lagi berangkat bersama ayahandanya Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Petra menziarahi jenazah Allahyarham.


Beberapa pemimpin politik dan kerajaan negeri juga turut kelihatan. Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali yang mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham kelihatan menghantar jenazah hingga ke perkuburan dan menunggu hingga urusan pengekebumian selesai.
Itulah sedikit catatan yang termampu sebagai mengenang Tok Guru yang mulia dan dikasihi itu. Beliau pergi meninggalkan sebuah kerajaan negeri kepada sahabatnya Tok Guru Nik Aziz yang kini sudah memasuki penggal kelima.
Selepas ini wajah Allahyarham tidak akan kelihatan lagi di mana-mana majlis Pas. Bagi saya kehilangan Allahyarham seperti terpadamnya seluruh kandil di sebuah rumah besar indah dan megah yang terletak atas bukit. Walaupun masih ada kandil lain namun terangnya tidak seterang dahulu. Al Fatihah!
http://kelantankini.com

1 comment:

Kok Semeru said...

Dari semalam hingga ke hari ini, apabila membaca berita ttg 'perginya' Tok Guru Hj. Loh Lubok Tapah, pipi ini tidak pernah kering dibasahi air mata yang mencurah-curah... Ya Allah... Aku amat merindui guruku... Aku tak dpt menatap wajahnya buat kali terakhir kerna jauh beribu batu... Ya Allah rahmatilah rohnya... Ameeen...

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...