Mar 30, 2008

Jauhi Permusuhan Sesama Islam

Bismillahir rahmani rrahim...

Alhamdulillah... Syukur tidak terhingga kehadrat Allah taala.

Di sini saya ingin mengajak diri saya dan saudara seIslam agar sama-sama menjalinkan hubungan baik sesama kita, kerana kita semua adalah bersaudara dalam beragama, seperti mana dijelaskan dalam al-Quran إنما المؤمنون إخوة bermaksud "Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara".

Sebagai muslim yang mengaku bahawa Allah subhanahu wataala sebagai Tuhan, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam Pesuruh Allah serta mengakui lima rukun Islam dan enam rukun Iman, sepatutnya tiada lagi berlakunya pertelingkahan yang akan membawa kepada kehancuran agama Islam tercinta.

Di manakah letaknya ajaran yang disampaikan oleh Nabi Junjungan dalam hal-hal yang berkaitan akhlak terpuji yang lebih mementingkan kasih sayang terhadap kaum muslimin?

Apakah dengan hanya secebis masalah yang tidak dapat dirungkaikan dalam masa terdekat maka jalan yang mudah untuk menyelesaikannya dengan bermasam muka, tidak bertegur sapa yang akhirnya membawa kepada tuduh menuduh dan hina menghina sesama kita?

Wahai saudaraku! Ingatlah setiap perkara yang dilakukan akan dipersoalkan di akhirat nanti. Adakah kita sanggup berhadapan dengan mahkamah Allah taala selama beribu tahun di akhirat semata-mata untuk menyelesaikan masalah permusuhan sesama kita? Kita belum mampu menanggung dan menyelesaikan dosa-dosa yang kita lakukan di dunia ditambah pula dengan masalah permusuhan ini.

Jangan pula ada yang ingin mengapi-apikan pertelingkahan itu bagi menghangatkan bicara tentangnya.

Ikutilah akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Junjungan dalam menangani permasalahan dalam masyarakat. Di dalam al-Quran sendiri ada menerangkan bagaimana cara untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul iaitu sama-sama kembali kepada kitab Allah iaitu al-Quran dan Sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Apa yang penting ialah bersihkan jiwa dari hasutan syaitan laknatullah yang sentiasa inginkan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam.

Muhasabahkan diri sendiri agar hidup lebih tenang di samping memperbanyakkan selawat dan zikrullah....

No comments:

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...