Feb 19, 2008

Rindu abang tetap padamu SAYANG

Malam tadi, anggota badanku rasa serba tak kena, duduk di atas kerusi kusyen empuk yang disediakan khas oleh kerajaan Malaysia rasa bagai beralaskan batang nibong yang dibelah dan dibuat lantai rumah pada zaman 70-an. Sendi bahu yang mula terasa sakit dan lenguh-lenguh di kedua-dua belah menambahkan lagi ketidakselesaan tubuh ini. Tidak cukup dengan itu, gusi dan gigi yang selama ini sihat, kuat dan bertenaga terasa bagaikan dihiris pisau sakitnya.

Itulah antara ujian dan cubaan kecil yang diberikan Tuhan kepada diri ini agar sentiasa beringat dan berwaspada tentang dosa yang sering dilakukan. Mungkin juga ujian kecil ini bagi menghapuskan dosa-dosa kecil yang telah aku lakukan sebelum ini. Atau apakah ia sebagai cubaan untuk mengangkat iman ku ke martabat yang lebih baik. Aaah… mana mungkin diri ku yang penuh dengan maksiat ini akan dinaikkan darjat yang lebih baik? berkata hatiku sendiri…

Namun aku tetap jua menggagahi diri ini untuk terus melakukan urusan harian seperti biasa. Malam semakin larut, aku rebahkan tubuh di atas tilam bujang yang nipis untuk merehatkan diri setelah seharian bekerja menunaikan tanggungjawab kepada anak bangsa. Sebelum merebahkan tubuh, aku sempat membaca 3 ‘Kul’ sebagai pendinding diri sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi Junjungan salallahu alaihi wasallam, lalu ku sapu ke seluruh anggota tubuh. Aku melelapkan mata sambil membaca doa tidur dan mengharapkan dapat bangkit seawal mungkin untuk meneruskan tanggungjawab di hari esok.

Tapi amat sukar untukku melelapkan mata, puas aku memujuk hatiku supaya tidak memikirkan tentang hal-hal lain di waktu tidur. Namun apakan daya, perasaan rindu yang kian membara terhadap puteri kesayangan dan isteri tercinta yang jauh di seberang laut menyebabkan hati semakin gundah dan resah, apatah lagi apabila aku pusingkan tubuh ku ke arah tilam bujang bersebelahan ku yang mana tilam itulah tempat puteri kesayangan dan isteri tercinta tidur bersamaku biar pun hanya seketika.

Masih lagi aku terbayang telatah puteri kesayangan ketika di atas tilam bujang tersebut, kelakuannya amat mengembirakan hatiku bila mana puteri kesayangan dipaksa tidur bersamaku dan isteri tercinta agar dapat aku merehatkan diri dan bangun awal pagi esok. Apa yang dilakukan puteri kesayanganku ialah membebel dengan bahasa kanak-kanak yang entah apa yang dimaksudkannya… “mamammamah… mamammamah… mamammamah… aaaaaaaaah… bbaaaaah… bbbbaaaah…” hatiku tetap terhibur dengan telatahnya…

Masih lagi aku teringat, puteri kesayangan yang tidak mahu tidur itu menolak dadanya menuju ke arahku lalu memanjat tubuhku dan menepuk-nepuk mukaku supaya aku dapat mendukungnya berjalan-jalan. Itulah telatah puteri kesayangan ketika bersama ku dan isteri tercinta.

Namun, mataku tetap berdegil, mindaku masih mengimbau kenangan lalu. Kepalaku mula terasa pening akibat memikirkan mereka nun di sana. Apakah yang sedang dilakukan mereka di sana? Tanya hatiku. Apakah mereka dapat tidur nyenyak tanpa memikirkan ku. Aku harap mereka dapat tidur dengan baik walaupun tidak bersamaku. Aku juga mengharap, isteri tercinta tidak memikirkan tentang diri ku di sini agar isteri tercinta dapat melakukan tugas-tugas harian dengan tenang.

Aku dapat mengawal perasaan rindu ini sepenuhnya agar tidak berlarutan. Aku terus bangkit dari tempat tidurku, lalu berjalan ke ruang tamu untuk mengambil biji tasbih untuk mengucapkan sepatah dua zikir agar hati ini tidak terus lalai dibuai perasaan rindu yang keterlaluan. Mujurlah ianya dapat ditenangkan dengan zikir-zikir memuji Allah.s.w.t.. kerana firman Allah taala yang bermaksud “sesungguhnya zikir itu dapat menenangkan hati…” lalu aku terus terlena…

No comments:

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...