Mar 9, 2009

Salam Maulidur Rasul

Bismillahi wa 'ala millati rasulillah.
Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Hari ini Isnin 12 Rabiu'l Awwal 1430 Hijrah, tentunya umat Islam dapat menyingkap kembali sejarah kelahiran Junjungan tercinta nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam.

Umat Islam sudah sedia maklum akan peristiwa tersebut, namun yang menjadi tajuk perbincangan ialah apakah kita benar-benar telah menghayati ajaran yang ditinggalkan kepada kita dalam kehidupan seharian?

Sebut sahaja bulan Rabiu'l Awwal rata-rata umat Islam sudah mengetahuinya. Jika ditinjau di segenap tempat sambutan Maulidur Rasul menjadi agenda utama dalam masyarakat dengan kenduri, perarakan, ceramah dan sebagainya yang bertujuan untuk mengingat kembali sejarah kelahiran Nabi serta mengagungkan Baginda.

Apakah memadai dengan sambutan meriah yang kita agung-agungkan? Bagi diri saya tidak salah untuk menyambut kelahiran Baginda, namun apakah cukup setakat sambutan semata-mata tanpa penghayatan yang mendalam dengan apa yang telah disampaikan oleh Baginda tentang ajaran Islam.

Jika dilihat masyarakat hari ini semakin kacau bilau, berlaku kekacauan antara nafsu, keinginan yang melampaui syariat dengan ajaran agama. Masyarakat yang tidak lagi mementingkan intipati Islam dalam hidup menyebabkan banyaknya berlaku huru-hara, jenayah serta sanggup membelakangkan ajaran Islam itu sendiri.

Sebagai contoh; sebahagian wanita Islam kini tidak lagi menitikberatkan hal-hal yang berkaitan kewajipan menutup aurat. Bagi mereka, asalkan memakai baju ia sudah memadai. Sebahagian masyarakat tidak pula mengendahkan dari punca mana dia memperolehi rezeki, yang penting poket penuh menjadi matlamatnya. Anak-anak muda tidak diterapkan dengan nilai-nilai Islam dan seribu satu masalah lagi.

Itulah sebahagian masalah yang menimpa umat Islam hari ini. Bersempena dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad, marilah kita sama-sama mengubah diri dan dapat menghayati tentang ajaran Islam yang benar ini dalam kehidupan harian.

Wassalam.

No comments:

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured