Sep 21, 2008

10 Malam Terakhir Yang Mendebarkan

Bismillahir rahmanir rahim... Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad. Sollallaaah... Wasallama 'alaih... Amma ba'du;

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah Tuhan Yang Maha Agung. Dikesempatan ini dan dalam 10 akhir Ramadhan, hati kian resah bukan kerana penat menjalani ibadat puasa, tapi hati semakin tidak tenang untuk mengintai-intai bilakah 'Lailatul Qadr'.

Jika ditinjau dari hadis-hadis Nabi sollallahu 'alaihi wasallam, 10 malam yang terakhir merupakan malam-malam yang sangat besar berkat dan anugerahnya, terdapat padanya satu MALAM YANG LEBIH DARI 1000 BULAN dikurniakan khusus untuk umat akhir zaman ini. Malam yang tiada tandingan sebelum dan selepasnya. Malam yang amat bermakna bagi mereka yang benar-benar mencari kelebihannya.

Nabi sollallahu 'alaihi wasallam sentiasa beriktikaf di masjid dan memperbanyakkan amalan pada 10 malam tersebut melebihi malam sebelumnya. Jika Rasulullah manusia yang telah dijanjikan syurga dan tidak ada padanya dosa (maksum) dapat melakukan amalan sedemikian rupa, apalah dengan diri yang kerdil ini. Tiada jaminan syurga malah sentiasa bergelumang dengan dosa, masih leka dari melakukan ibadat lebih-lebih lagi malam yang penuh keberkatan ini.

Daku sentiasa mengingatkan diri ini agar sentiasa lah melakukan ibadat semampunya. Berterawih dan witirlah, bertahajjudlah, berzikirlah, berselawatlah, baca al-Quranlah dan seribu amalan lain yang sepatutnya.

Wahai diri yang sentiasa melakukan kesilapan, perbetulkan niatmu, perelokkan amalanmu, tanamkan dalam hatimu akan rasa cinta hanya kepada Allah. Carilah malam yang penuh keberkatan itu yang lebih baik dari 1000 bulan yang bersamaan dalam lingkungan 83 tahun.

Ya Allah kurniakanlah kepada kami malam yang dijanjikan itu, agar kami dapat menambahkan pahala bagi memberatkan timbangan di hari Pembalasan di sana nanti.

Ya Allah... Ya Rabbal 'alamiin...

No comments:

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured