May 10, 2008

Di manakah Tanggungjawab Kita Terhadap Saudara SeIslam??


Bismillahir rahmanir rahim…

الحمد لله، اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أم بعد:

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah rahmatnya.

Terlebih dahulu diri ini memohon maaf kepada teman-teman yang berkunjung ke blog ini kerana agak lama tidak dipaparkan maklumat terkini. Beberapa kerja yang perlu disegerakan terpaksa dibereskan dahulu.

Di sini, hamba ingin berkongsi maklumat dengan teman-teman sekalian… walaupun diri ini pada hakikatnya dipenuhi dengan noda dan dosa setiap masa, namun rasa tanggungjawab terhadap kesucian agama Islam tetap menjadi fokus utama dalam kehidupan.

Baru-baru ini kita telah dihebahkan dengan beberapa kes berkaitan saudara seIslam yang secara tersembunyi dan terang-terang berhasrat menukar status agama kepada selain daripada Islam atau dengan jelasnya “keluar Islam”.

Kita juga dihidangkan dengan pelbagai tuntutan dari peringkat atasan hingga ke pertubuhan yang inginkan status agama di negara Malaysia ini disamaratakan kedudukannya agar dapat dinikmati keselesaan dan kemudahannya secara bersama, dengan kata lain, tiada peraturan yang menyekat dari memeluk mana-mana agama.

Apa yang ingin hamba kongsikan dengan teman-teman bukanlah perkara-perkara yang dinyatakan di atas. Namun ia berkaitan dengan tanggungjawab kita terhadap saudara seIslam kita.

Suka hamba bertanyakan beberapa soalan terutama kepada empunya diri, Apakah yang telah hamba lakukan terhadap saudara seIslam? Adakah hamba berkawan hanya untuk mengisi masa lapang atau masa ‘boring’ sahaja? Atau cukupkah berkawan hanya untuk mengajak keluar makan bersama dan bertegur sapa tak ubah seperti kawan di jalanan? Adakah hamba sekadar berkawan yang tak ubah seperti berkawan semata-mata?? Ya Allah… inikah yang telah hamba lakukan terhadap sahabat-sahabat sekian lamanya…

Setelah beberapa isu tentang saudara seIslam diutarakan di media massa, terdetik di hati kecil ini di manakah jawapan yang akan hamba bentangkan di hadapan Mahkamah Agung di Padang Mahsyar nanti!!! Dapatkah hamba berhujah dengan pelbagai alasan, sedangkan dosa-dosa lain tidak mampu ditanggung lagi.

Apakah yang telah hamba lakukan terhadap saudara seIslam ku ini sehinggakan mereka bertindak menukar KEBENARAN kepada KEBATILAN?

Ingatlah wahai diri ini!!! “Mahkamah Allah” tidak akan bertanyakan tentang kehebatan diri, kehebatan sesebuah parti dan bersangkutan dengannya. Bahkan bertanyakan tentang apa yang telah diri ini lakukan terhadap Islam… hamba tetap mencari dan menunggu jawapannya dan komen dari sahabat-sahabat sekalian amatlah dialu-alukan…

Mohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesalahan dan kesilapan atas pandangan tersebut. Mohon diperbetulkan sehendaknya… Wassalam.


No comments:

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured