Showing posts with label Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Aqidah. Show all posts

May 24, 2009

Saya Mesti Muslim di Sudut Aqidah: Aqidah siri 6

Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillahi rabbil 'alamin wasollatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wa sohbihi ajma'in. Amma ba'du;

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikkan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Ini kerana manusia telah dikuniakan akal fikiran untuk memikirkan dan membuat pilihan (takhyir) yang mana baik bagi dirinya untuk diamalkan berdasarkan peraturan Islam dan menjauhi segala larangan dan kejahatan.

Namun demikian, kebaikkan yang dilakukan itu tidaklah berlaku melainkan dengan taufiq dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang batasan dan keizinan Allah serta kehendakNya, pembaca digalakkan merujuk kepada kitab-kitab yang menghuraikan tentangnya dengan lebih jelas. Pengendali tidak mampu menghuraikan bahagian ini secara terperinci kerana keterbatasan kajian ilmu yang dimiliki.

7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah Subhanahu wata'ala. Adalah amat tidak wajar sama sekali manusia yang memiliki segala kelemahan dan keterbatasan ilmu untuk mendahului atau membelakangi segala undang-undang dan peraturan yang telah Allah tetapkan.

Walau bagaimana pun, terdapat di sana beberapa perkara yang dibolehkan untuk berijtihad dan mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Namun tidaklah mudah untuk kita yang bergelar manusia biasa dengan sewenang-wenangnya boleh mengeluarkan sesuatu hukum. Ianya hanya dikhususkan kepada mereka yang pakar dalam ilmu agama sahaja (contoh ilmu usul fiqh dan fiqh) yang dipanggil sebagai "alim ulama", "tok guru", "jamaah mufti" dan sebagainya yang sememangnya terbukti kepakaran mereka dalam bidang tersebut.

Janganlah kita mengeluarkan hukum sewenangnya contohnya, tidak usah bersolat jika terlalu sakit atau terlantar dikatil hospital kerana susah untuk bergerak. Atau ramai yang beranggapan tidak dapat mengerjakan solat sekiranya tempat yang dituju itu tiada tempat solat. Apakah kita lupa bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ada menyebut bahawa hamparan bumi ini adalah suci untuk melakukan solat.

Wallahu a'lam.

May 18, 2009

Saya Mesti Muslim di Sudut Aqidah: Aqidah siri 5


Bismillahir rahmanir rahim.
Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Bersambung perbincangan bagi pemantapan aqidah menurut ulasan ustaz Fathi Yakan, antaranya;

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan dan lahirnya insan ke dunia ini ialah untuk mengenali Allah 'azza wa jalla, dengan memberi sepenuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Sebagaimana telah diungkapkan dalam al-Qur'an Surah al-Zariyat 51: Ayat 56-58;
Mafhumnya;

"Dan tidaklah Aku mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh".

Itulah tujuan yang utama manusia dilahirkan ke dunia ini. Mencari ilmu pengetahuan agar dapat mengenali Sang Pencipta dengan lebih dekat seterusnya memberi sepenuh ketaatan dan pengabdian tanpa berbelah bagi kepadaNya.

Bukan ketika solat sahaja hanya kepada Allah hati diniatkan, bahkan ketika berjalan, makan, bekerja, tidur hatta ke tandas pun hati dipusatkan hanya beribadat kepada Allah. Supaya setiap langkah yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Islam dalam keredhaan Allah.

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah Syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi durhaka ialah api neraka.

Sungguh adil perhitungan dan pembalasanMu ya Allah. Maha Adil Allah taala sehinggakan setiap zarah kebaikkan yang dilakukan oleh mukmin akan tetap dibalas dengan kebaikkan. Manakala sebesar zarah kejahatan yang dilakukan pendurhaka tetap ditimpa balasannya.

Maka di manakah lagi jalan keluar bagi mereka yang mendurhakai perintah Allah kerana setiap detik perbuatan baik dan jahat dikira dan dicatat oleh pencatat yang setia di kanan dan kiri manusia iaitu Raqib dan 'Atid.

Jika hari ini seorang pembesar berkuasa, jika hari ini seorang peguam menang bicara, jika semua itu terkeluar dari landasan Islam pada hal mereka mengetahuinya maka tunggulah balasan azab yang tiada terperinya menanti di sana.

Apakah manusia pembelot, pengkhianat, pendusta dan perosak umat mampu mendabik dada tatkala membelot, mengkhianati, mendustai serta merosak umat dengan amanah yang Allah kurniakan!


Ketahuilah! Di sana hanya dua balasan yang akan diterima manusia dan jin sama ada Syurga atau Neraka. Dengan ini, saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi mukmin yang taat kepada perintah Allah ialah Syurga. Manakala orang yang engkar perintah Allah adalah Neraka.

Wallahu 'alam.

May 9, 2009

Saya Mestilah Muslim di Sudut Aqidah. Aqidah Siri 4

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulillah. Amma ba'du;

Bersambung bicara aqidah...

2. Saya mesti beriman, yakin, percaya dan berpegang teguh bahawa Allah subhanahu wata'ala tidaklah menjadikan alam ini secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Maha suci Allah yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan mencipta alam ini dengan sia-sia.

Ini kerana setiap kejadian Allah sama ada kecil mahu pun besar, pasti ada manfaat dan faedahnya. Sebagai contoh tidaklah Allah menjadikan seurat bulu di badan manusia hanya sia-sia melainkan berbagai manfaat kepada kehidupan manusia seperti bulu kulit yang condong dapat mengurangkan udara daripada terperangkap pada kulit supaya haba mudah dibebaskan kerana udara adalah penebat haba yang baik. Bulu kulit dikawal oleh otot erektor.

Selain itu, adalah mustahil bagi manusia dapat memahami maksud tujuan Allah ta'ala menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan wahyu daripada Allah subhanahu wata'ala. Akal manusia sangat terbatas kemampuannya. Tanpa huraian daripada Rasul, akal tidak mampu memikirkannya.

3. Saya mestilah beriman, percaya dengan penuh yakin bahawa Allah subhanahu wata'la telah mengutuskan rasul-rasul dan bersama meraka kitab-kitab sebagai panduan kepada manusia dan mengajar manusia agar dapat mengenali Sang Pencipta mereka, dari mana asal usul manusia, ke mana tempat kembali manusia selepas ini. Allahu Akbar...

Saya juga mesti beriman dan percaya bahawa Rasul terakhir yang diutuskan ialah nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bersama kitab al-Qur'an al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.

Wassalam.

Rujukan: Madha Ya'ni Intima'i Lil Islam. Ustaz Fathi Yakan. (Apa Ertinya Saya Menganut Islam)

May 8, 2009

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Aqidah. Aqidah siri 3

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi sentiasa, selawat dan salam tidak putus-putus kepada junjungan tercinta nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Bersua lagi dalam bicara aqidah. Marilah kita sama-sama memantapkan lagi aqidah pegangan kita agar mencapai keredhaan Allah subhanahu wata'ala. InsyaAllah, kali ini kita akan bincangkan penggabungan ajaran dan aqidah Islam dalam kehidupan seharian ini.

Saya mestilah Muslim yang sebenarnya di sudut aqidah sebagaimana yang dicatatkan oleh al-fadhil ustaz Fathi Yakan dalam bukunya 'Madha ya'ni Intima'i Lil Islam'.

1. Dengan itu, bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam aqidah, maka saya mestilah beriman, yakin dan percaya bahawa pencipta alam ini adalah Allah. Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun di dunia ini.

Sesungguhnya bumi dan langit serta kejadian yang ada pada kedua-duanya, cakerawala, matahari, bintang, bulan dan segalanya merupakan ciptaan Allah Yang Maha Agung. Buktinya jelas pada kejadian yang amat unik ini penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

Kejadian manusia yang sangat unik dari setitis air mani kemudian menjadi segumpal darah, seketul daging, pembentukkan tulang yang diseliputi, janin akhirnya ditiupkan ruh sehingga menjadi jasad manusia yang sempurna (rujuk). Apakah manusia terjadi dengan sendiri? Maha suci Allah.

Bagaimana pula dengan kejadian alam ini. Apakah kejadian alam luas ini terjadi dengan sendirinya? Masakan seorang arab badawi (orang kampung tidak belajar) dapat mengakui adanya (wujud) Tuhan Pencipta alam ini dengan hanya memikirkan seketul tahi (najis) unta kering berada di tengah jalan. Apakah tahi ini terjadi sendirinya dan berada di situ. Akhirnya badawi tersebut beriman dengan penuh keyakinan kepada Pencipta alam rabbul jalil.

Dengan ini, saya mesti tanamkan dalam hati bahawa Allah ta'ala adalah Pencipta seluruh alam ini.

Wassalam.

May 4, 2009

Apa Itu Aqidah Islam? Aqidah Siri 2


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan lagi umur serta dikurniakan segala bentuk nikmat yang tidak terhingga. Selawat serta salam buat junjungan tercinta penghulu bagi sekalian nabi, Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Perkara yang sangat penting dalam Islam ialah aqidah. Kerana melalui aqidah inilah merupakan syarat utama kepada menerimaan sesuatu amalan dan diberikan ganjaran serta balasan baik. Jika aqidah melencong dari landasan Islam maka segala amalan baik tidak akan dibalas dan terhapus.

Aqidah diambil dari kata dasar al-'Aqdu iaitu ikatan, pengesahan, penguatan dan sebagainya. Aqidah bermaksud ketetapan yang tiada ruang keraguan bagi orang yang mengambil keputusan. Ini memberi kefahaman bahawa aqidah berkaitan dengan keyakinan bukannya perbuatan. Jadi aqidah ialah apa yang menjadi ketetapan hati seseorang secara pasti.

Dengan ini, aqidah ialah perkara yang wajib dibenarkan oleh hati dan jiwa tenteram dengannya. Keimanan yang pasti dan tidak terkandung sebarang keraguan pada orang yang meyakininya.

Aqidah Islam bermaksud keimanan dan keyakinan yang teguh dengan Rububiyyah Allah ta'ala, Uluhiyyah-Nya, Asma'u wa sifah-Nya, Qada' dan Qadar, hari Kiamat, segala berkaitan perkara ghaib, pokok-pokok agama dan apa yang disepakati oleh salafus salih dengan ketundukkan yang bulat kepada Allah ta'ala dari segi perintah-Nya, hukum-Nya, ketaatan kepada-Nya serta meneladani Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. (rujuk)

Jadi, pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

InsyaAllah, bagi melanjutkan persoalan aqidah, kita akan berbicara berkaitan pegangan yang bagaimana dapat memantapkan keyakinan hidup sebagai seorang yang benar-benar Muslim dalam perjalanan seharian. InsyaAllah bersambung...

Rujukan: Apa ertinya saya menganut Islam. al-ustaz Fathi Yakan.

May 3, 2009

Apakah Islam ku Sempurna? Aqidah Siri 1

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukur ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam sentiasa buat junjungan tercinta nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Bercakap tentang aqidah, sudah pasti ramai mengatakan kami beraqidah Islam. Kami beragama Islam. Kami percaya dengan semua rukun Islam (walau ada yang terlupa akan rukun-rukun tersebut).

Semua perkataan itu adalah benar. Ini menunjukkan bahawa kita masih menyayangi Islam dan aqidah Islam. Alhamdulillah...

Di sini saya ingin mengajak diri saya dan pembaca berkaitan dengan persoalan, Apakah diri ini menjadi Muslim kerana telah dilahirkan oleh ibu bapa Muslim atau kerana semata-mata mengikut amalan masyarakat setempat tentang Islam?

Jika demikian, pasti kita masih kabur tentang 'Islam cara hidupku' dan 'Islam: The way of life'. Kita masih kabur dengan penggabungan diri dengan Islam. Kita masih tidak dapat mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian dengan sempurna. Dari itu, kadang-kadang berlaku; kita berada di satu pihak dan Islam di pihak yang lain.

Oleh itu, apa sebenarnya aku beragama Islam? Apakah yang perlu aku lakukan sedangkan aku sudah beragama Islam?

InsyaAllah... dikesempatan lain sama-sama kita membicarakan apakah perkara-perkara yang dituntut oleh Islam ke atas seorang Muslim agar penggabungan Islam dengan diri dan kehidupan menjadi sah dan benar seterusnya menjadi seorang Islam yang benar.

InsyaAllah, bersambung...

Wassalam.

Rujukan: Apa ertinya saya menganut Islam.

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured