Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Sep 11, 2009

Lailatul Qadr

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, selawat ke atas Rasulillah. Amma ba'du; sempena di penghujung Ramadhan ini daku menyeru diri ini dan kaum muslimin agar memperbanyakkan lagi amalan-amalan sunat di samping amalan-amalan fardhu yang semestinya dilakukan.

Kita sudah berada pada fasal terakhir di mana terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan lebih kurang 83 tahun perkiraan ganjarannya.

Oleh itu, janganlah kita leka dengan kesibukkan harian menyebabkan tiada kesempatan untuk beramal di malam harinya. Amat rugilah jika kita terlepas malam yang dijanjikan 1000 rahmat itu.

Jika dibuat perbandingan dengan anugerah RM1000 akan diberikan kepada sesiapa saja yang datang ke masjid pada malam terakhir, nescaya berpusu-pusu mereka ke sana kerna nampak akan habuan yang bakal diberi.

Namun ganjaran 1000 bulan yang dihebahkan dan al-Quran amat jarang sekali yang meminatinya.

Ya Allah, kuatkanlah iman kami untuk terus beribadat kepada-Mu serta mendapat apa yang telah Engkau janjikan pada 10 malam terakhir ini. Ameen...

Sep 5, 2009

1 saat mengingat Allah


Bagaimana mengingati Allah dengan sesaat?

Caranya sangat mudah...

Sebutlah sekarang;


Subhanallah...
Alhamdulillah...
Allahu Akbar...


Kita pasti mampu melakukannya.

Ingatlah Allah walau sesaat.

Jul 20, 2009

Ini Bukan Sikap Orang Islam!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selawat dan salam ke atas Nabi MUhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Amma ba'du;

Inilah senario yang sering berlaku di sekeliling kita :

Apabila saudara kita dalam kesusahan, siapakah yang pertamanya akan menghulurkan tangan untuk membantu mereka?

Di dalam kesesakan jalanraya, bunyi hon bersahut-sahutan. Rupa-rupanya di situ ada kemalangan. Dan pemandu membawa kereta dengan perlahan-lahan hanya untuk melihat kemalangan dan kemudian berlalu pergi.

Seorang pelajar tersangkut kainnya di eskelator di KLCC, yang membantu bertungkus lumus adalah orang bukan Islam. Manakala saudara seIslam hanya tukang pemerhati sahaja.

Seorang wanita bersama suaminya terjatuh dari motor kerana si peragut yang kejam telah mencuri tas tangan wanita terbabit sekaligus menendang motor yang dibawa oleh suaminya, dalam keadaan sedih dan meminta tolong melihat suaminya yang nazak, orang di kiri kanan hanya sebagai pemerhati. Sehinggalah putus nafas si suami..

Masih ada persepsi diri yang menyatakan ustaz dan ustazah yang perlu menunjukkan contoh yang baik. Tetapi masih kurang kesedaran bahawa sepatutnya setiap diri orang Islam itulah yang perlu menunjukkan contoh yang terbaik untuk dicontohi. Jika mereka ustaz, orang alim, bukankah diri kita sendiri pula adalah terdiri dari orang Islam yang menjunjung tinggi al Quran, Sunnah dan ijmak?

Ada ketikanya semasa hendak menghulurkan bantuan dari segi kewangan seperti di tabung masjid, surau, atau memberikan sumbangan untuk majlis di sekolah-sekolah yang berbentuk kerohanian atau yang membina modal insan hati kita akan 'bertarik tali'. Malah perlu diminta berkali-kali. Jumlah wang yang hendak diberi bermulanya tinggi, kemudian banyak lagi alasan yang akan datang bertalu-talu sehinggalah jumlah bantuan semakin kecil dan ada juga akhirnya - 'tak mengapalah lain kali sahaja untuk bersedekah'.

Sedangkan untuk tujuan bermegah dengan kejayaan yang dicanang selama ini selain bidang kerohanian amat senang sekali diberi dan diluluskan. Wahai.. nampaknya kemenangan syaitan menyalurkan perasaan bakhil telah bertapak di sanubari sana.

Akhirnya perasaan untuk berlumba-lumba membuat kebaikan itu semakin sirna begitu sahaja..

Ada pula kisahnya, orang yang alim lagi faqih (segelintir sahaja) hanya memerhatikan sahaja keletah umat Islam yang diserang dengan fahaman-fahaman dan ideologi sonsang, gejala sosial semakin membarah di dalam perut umat Islam. Dia kata nantilah, biarkanlah.. akhirnya barah itu membusuk dan pecah.. 'sudah terhantuk baru terngadah'.

Anak Orang Anak Kita

Orang kita dahulu bila melihat anak orang lain berdua-duaan, ada melakukan kesilapan pastinya mereka akan ditegur. Berlainan pula di zaman sekarang. Sebab sudah ada mentaliti yang merasakan bahawa anaknya jangan diusik walaupun salah. Walhal perkembangan anak-anaknya bukanlah dapat dipantau sepanjang masa.

Sekolah pula adalah tempat didikan dan ajaran bukan sebagai taman asuhan kanak-kanak.

Semangat kejiranan, tolong menolong, mengambil tahu sudah semakin terhakis di dalam hati dan minda orang kita kini. Kalaulah mereka faham bahawa setiap umat Islam itu bersaudara bagaikan batu bata yang memperkukuhkan antara satu dengan yang lain, tentulah tidak timbul masalah sosial yang melambak di sana sini.

Jomlah kita fikir dan ambil tindakan..

May 29, 2009

Belajarlah Dari Alam Sekeliling

Bismillahir rahmanir rahim.
Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du;

Belajarlah dari MATAHARI:
Adil menebar cahaya dan memberikan kehangatan kepada semua, baik yang terawang-awang di angkasa mahupun yang bertebaran di atas bumi, kepada yang miskin mahupun yang kaya, yang mulia hatinya juga buat si kejam, kepada semua makhluk ciptaan Ilahi.

Belajarlah dari BUNGA:
Sentiasa tersenyum menyebarkan harumannya menghadiahkan kecantikan untuk mengubat hati yang gundah, juga menggembirakan setiap mata yang memandang.

Belajarlah dari LEBAH:
Sentiasa berganding bahu, bekerja dengan hati yang riang dan semangat membara.

Belajarlah dari POKOK:
Menghadiahkan buah yang manis dan segar sambil menundukkan dahannya.

Belajarlah dari BULAN:
Tenang memancarkan cahayanya yang kemilau dan indah buat menyuluh malam yang gelap.

Belajarlah dari SUNGAI:
Tabah bergerak menuju ke destinasi dengan meredah apa saja halangan hinggalah sampai ke muaranya. Airnya lembut dan tenang tapi tiada suatu pun mampu menghalang kemaraanya.

Belajarlah dari DAUN yang luruh:
Sabar ketika menghadapi kesukaran. Sentiasa tabah menunggu hari yang baik dan sesuai untuk tumbuh kembali.

Belajarlah dari HUJAN:
Kehadirannya dinanti-nantikan buat penyejuk alam yang hangat, membasahi kekeringan, menghijaukan tanah yang gersang dan memberi nyawa kepada tumbuhan.


Lihatlah ke dalam diri, pelajarilah sifat-sifat alam yang dicipta Sang Penguasa Agung. Kita juga sebahagian daripadanya.

Sumber: http://al-pakri.blogspot.com/2008/12/belajarlah.html

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured