Aug 26, 2008

An-Nasr (Kemenangan)

Bismillahir rahmanir rahim...

Selawat dan salam ke atas Junjungan mulia Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam, amma ba'du;

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

1. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad menguasai negeri Mekah), -

2. Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, -

3. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat.

Surah ke - 110
Diturunkan di Madinah - 3 ayat.

Intisari kandungan;
Surah ini mengajar kita supaya apabila kita mendapat apa yang kita usahakan mendapatnya, janganlah kita lalai dan lupa daripada bersyukur dengan mengerjakan amal bakti kepada Allah subhanahu wata'ala yang mengurniakan apa yang kita hajati itu, serta meminta ampun kepadaNya akan salah silap kita dalam usaha yang kita jalankan itu.

سبحان الله وبحمده سبحان لله العظيم أستغفر الله
3x

Aug 24, 2008

‘Maha Suci Tuhan Kami Dari Menjadikan Perkara Sia-sia’

Bismillahir rahmanir rahim

Alhamdulillah dan selawat dan salam ke atas Junjungan tercinta Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam serta ke atas keluarga Baginda dan para sahabat Baginda, amma ba'du;

Bagi mereka yang telah dikurniakan ‘mata’ hati, maka akan terbukalah hijab (halangan) yang selama ini menghalang seseorang hamba dari mengetahui segala isi ilmu dan perkara-perkara hikmah yang tidak dapat dijangkau melalui pancaindera.


Maka akan terpancarlah di dalam diri hamba itu akan segala ilmu yang cukup bermakna. Ilmu inilah yang sentiasa diharap-harapkan oleh seseorang hamba yang ingin mendekatkan diri kepada Tuhannya.

Apabila dikurniakan hikmah ini akan dikurniakan pula kebaikkan yang amat banyak. Dari situ, berkatalah hambanya, ‘Wahai tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau jauhkanlah kami dari siksa api neraka’.

Ya Allah… kurniakan kami ilmu sebagaimana Engkau kurniakan kepada para muqarrabiin Mu… Ameen

Aug 19, 2008

PAHALA TERAKHIR SEORANG ISTERI

Bismillahir rahmanir rahim… selawat dan salam ke atas rasulillah, amma ba’du;

Masih lagi berkaitan kisah isteri sebagaimana yang lepas. Kali ini hati daku amat tersentuh bila membaca luahan seorang isteri yang tak dapat menunaikan hajat terakhir suaminya.

Bukan kerana engkar perintah suami tapi keletihan dan kepenatan yang tak mampu dilaksanakan. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar darinya… InsyaAllah…

Kisah benar- petikan dari majalah NUR- cahaya keinsafan. Untuk renungan bersama... insyaAllah..

Peristiwa yang menimpa diri saya kira-kira dua tahun yang lalu sering datang meragut ketenangan yang cuba di pupuk hari demi hari. Saya selalu kecundang. Justeru saya masih belum dapat memaafkan kesalahan yang telah dilakukan. Kesalahan yang disangka ringan, tetapi rupa-rupanya mendatangkan rasa bersalah yang tidak pernah berkesudahan hingga ke hari ini.

Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri ini untuk tatapan anda sekalian, untuk dijadikan teladan sepanjang hidup. Untuk pengetahuan semua... ... ...

... .di kalangan sahabat-sahabat dan saudara-mara, saya dianggap sebagai seorang isteri yang baik. Tetapi keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri bekerja yang begitu taat berbakti kepada suami.

Walau bagaimana penat dan sibuk sekalipun, urusan rumahtangga seperti melayan suami dan menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan. Kami dianggap pasangan romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat memahami jiwa saya, berlemah lembut terhadap keluarga, ringan tulang untuk bersama-sama menguruskan rumah apabila pulang dari kerja dan lain-lain sifat yang baik ada pada dirinya.Waktu sembahyang dan waktu makan merupakan waktu terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan sembahyang berjemaah dan makan bersama. Pada waktu inilah biasanya beliau akan memberi tazkirah dan peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang bertakwa.

Dari sudut layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan kewajipan yang harus ditunaikan. Itulah peranan asas seorang isteri terhadap suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata unutk melayan Adam dan menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan, namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan diciptakan Hawa. Oleh itu saya menganggap tugas mengurus rumahtangga, mengurus anak-anak dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah tugas pertama dan utama, iaitu melayani suami. Sebagai seorang yang juga sibuk di pejabat, adakalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya pulang ke rumah. Tetapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya. Berkat tolong-menolong dan bertolak-ansur, hal tersebut tidak pernah menjadi masalah di dalam rumahtangga. Bahkan sebaliknya menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat menerimanya dan mengorbankan kepentingan masing-masing.

Sehinggalah tiba pada satu hari yang mana pada hari itu datangnya ketentuan Allah yang tidak dapat diubah oleh sesiapa pun. Hari itu merupakan hari bekerja. Agenda saya di pejabat amat sibuk, bertemu dengan beberapa orang pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu disiapkan pada hari itu juga. Pukul lima petang saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Penat dan letih tidak dapat digambarkan. Apabila sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat. Dia telah membersihkan dirinya dan sedang melayani anak-anak, bermain- main dan bergurau senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada pada petang itu.

Saya begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat. Suami sedar saya amat penat pada hari itu. Oleh itu dia meminta agar saya tidak memasak, sebaliknya mencadangkan agar kami makan di sebuah restoran makanan laut di pinggir bandar. Dengan senang saya dan anak-anak menyetujuinya. Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam 11 malam. Apa tidaknya, kami berbual-bual panjang ketika makan, bergurau-senda dan usik-mengusik. Seperti tiada hari lagi untuk esok. Selain anak-anak, suami sayalah orang yang kelihatan paling gembira dan paling banyak modal untuk bercakap pada malam itu. Hampir jam 12 barulah masing-masing merebahkan badan di katil.

Anak-anak yang kekenyangan segera mengantuk dan lelap. Saya pun hendak melelapkan mata, tetapi belaian lembut suami mengingatkan saya agar tidak tidur lagi. Saya cuba menggagahkan diri melayaninya, tetapi hati saya hanya separuh saja jaga, separuh lagi tidur. Akhirnya saya berkata kepadanya sebaik dan selembut mungkin, "Abang, Zee terlalu penat," lalu saya menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum tidur. Sebaliknya suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik kepada saya bahawa itu adalah permintaan terakhirnya. Namun kata-katanya itu tidak meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam mimpi. Suami saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya.

Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab. Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka sama sekali - panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dalam kemalangan dan dikehendaki datang segera ke hospital. Saya bergegas ke hospital, tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami saya dan saya tidak sempat bertemunya. Meskipun redha dengan pemergian suami, tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis dari hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir kehidupannya di dunia ini. Hakikatnya itulah pahala terakhir untuk saya sebagai seorang isteri. Dan yang lebih saya takuti sekiranya dia tidak redha terhadap saya pada malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya.

Sabda Rasulullah s.a.w, "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang suami yang mengajak isterinya tidur bersama di tempat tidur, tiba- tiba di tolak oleh isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu, hingga dimaafkan oleh suaminya."

Sehingga kini, setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya akan mengalir ke pipi. Saya akan bermunajat dan mohon keampunan daripada Allah.

Hanya satu cara saya fikirkan untuk menebus kesalahan itu, iaitu dengan mendidik anak-anak agar menjadi mukmin sejati. Agar pahala amalan mereka akan mengalir kepada ayah mereka. Hanya itulah khidmat yang dapat saya berikan sebagai isterinya

Allahu Akbar… setiap kenikmatan yang dirasai di dunia ini bukanlah untuk selamanya, ianya hanya sebagai ujian agar kita sentiasa berwaspada akan ada satu hari nanti di mana setiap nikmat itu akan diambil kembali…

Ya Allah… Daku amat merindui keluarga ku yang jauh nun di sana. Berikanlah kekuatan kepada kami dalam menempuhi cabaran hidup ini. Kurniakanlah kebahagiaan dalam hidup kami seperti mana yang telah Engkau kurniakan kepada hamba-hambaMu yang Engkau kasihi… Ameeen…

Aug 13, 2008

Hargailah Isteri Anda...

"Bismillahir rahmanir rahim, allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wa sohbihi wasallim, amma ba’du;

Tatkala daku melawati blog-blog sahabat, daku tertarik dengan kata-kata ini, lalu daku paparkan di teratak daku ini agar sahabat-sahabat lain dapat mengambil iktibar darinya, InsyaAllah…

Mulianya seorang isteri disisi Allah...
Dan betapa berharganya wanita yang bergelar isteri ini
pada keluarga, suami dan anak-anak
Rugi dan binasalah suami-suami yang tidak menghargai isteri mereka
kerana isteri inilah yang akan membantu mereka di akhirat kelak.
Biarlah buruk mana isteri anda,
sayangilah mereka.....


Beruntungnya seorang wanita yang ada rahim
ini ialah dia bekerja dengan Tuhan... jadi 'kilang ' manusia.
Tiap-tiap bulan dia diberi cuti bergaji penuh...
7 sehingga 15 hari sebulan dia tak wajib sembahyang
tetapi Allah anggap diwaktu itu sembahyang terbaik darinya.
Cuti bersalin juga sehingga 60 hari.
Cuti ini bukan cuti suka hati
tapi cuti yang Allah beri sebab dia bekerja dengan Allah.
Orang lelaki tak ada cuti dari sembahyang.. .
sembahyang wajib baginya dari baligh sehingga habis
nyawanya.

Satu lagi berita gembira untuk wanita,
Sepanjang dia mengandung
Allah sentiasa mengampunkan dosanya,
Lahir saja bayi seluruh dosanya habis.
Inilah nikmat Allah beri kepada wanita,
jadi kenapa perlu takut nak beranak?

Marilah kita pegang kepada tali Allah.
Seandainya wanita itu mati sewaktu bersalin, itu dianggap
mati syahid, Allah izinkan terus masuk Syurga.
Untuk peringatan semua wanita yang bersuami
seluruh kebaikan suaminya, semuanya isteri dapat pahala
tetapi dosa-dosa suami dia tak tanggung.

Diakhirat nanti seorang wanita solehah akan
terperanjat dengan pahala extra yang banyak dia
terima diatas segala kebaikan suaminya yang tak disedari.
Contohnya bila dia redho suaminya pergi berjemaah di masjid
atau ke majlis ilmu, bekerja... bersedekah.. ganjaran Allah keatasnya jua..

Bila dia lihat suaminya tengah terhegeh-hegeh di titian Sirat
dia tak nak masuk syuga tanpa suaminya,
jadi dia pun memberi pahalanya kepada suami
untuk lepas masuk syurga.
Didunia lagi, kalau suami dalam kesusahan
isteri boleh bantu tambah lagi di akhirat.
Kalau seorang isteri asyik merungut,mulut selalu muncung
terhadap suami dia tak akan dapat pahala extra ini.

Manakala suami pula mempunyai tugas-tugas berat di dalam dan
di luar rumah, segala dosa-dosa anak isteri yang tak dididik
dia akan tanggung ditambah lagi dengan dosa-dosa yang lain..
Dinasihatkan kepada semua wanita supaya faham akan syariat
Allah agar tidak derhaka denganNya.

Ya Allah... Ampunilah dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa isteriku, dosa kaum kerabatku dan dosa kaum muslimin... Tetapkanlah hati mereka di atas agama Mu dan ketaatan kepada Mu... Ameen...

Aug 6, 2008

Qunut Nazilah

Bismillahir rahmanir rahim

Alhamdulillah dan selawat dan salam ke atas Junjungan tercinta Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam serta ke atas keluarga Baginda dan para sahabat Baginda, amma ba'du;

Wahai saudaraku,
Tatkala kita ditimpa musibah di luar kemampuan yang ada pada diri kita, maka ketahuilah di sana tetap ada pertolongan dari kerajaan Yang Maha Agung dan Maha Perkasa. Apa yang perlu sebagai hamba yang lemah ini dengan memohon doa yang tidak putus-putus serta mengharapkan kurniaan dan pertolongan daripada Nya.

Inilah doa yang telah diajar kepada kita semua;


اللَّهُمَّ إِناَّ نَجْعَلُكَ فِى نُحُورِ أَعْدَاءِناَ، وَنَعُوذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ، اللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ، وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ،

وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباًَ مِنْ كِلاَبِكَ، يْا قَهاَّرُ يَا جَباَّرُ يَا مُنْتَقِمْ، يَا اللهُ يَا اللهُ يَا اللهُ...

اللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتاَبِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحاَبِ، وَيَا هاَزِمَ اْلأََحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ إِهْزِمْهُمْ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْناَ عَلَيْهِمْ...

Ya Allah,

Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka,

Ya Allah,
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Pecah-belahkanlah dan kacau-bilaukanlah persatuan mereka,
Goncangkan pendirian mereka,
Dan hantarkanlah anjing-anjing Kamu kepada mereka

Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa,
Wahai Tuhan Yang Maha Menghukum,
Wahai Tuhan Yang bersifat Murka,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,

Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,

Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,

Dan menangkan kami ke atas mereka.
Ameen…!

Aug 2, 2008

RenunganTentang Israk dan Mikraj

"Bismillahir rahmanir rahim, allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wa sohbihi wasallim, amma ba’du;

Sempena penghujung bulan Rejab yang mulia ini, diharap ia dapt mengingatkan kita kembali tentang peristiwa yang sangat bersejarah dalam diari Islam di mana berlakunya satu peristiwa perjalanan Nabi Junjungan Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam dari Mekah ke Palestin pada tahun ke 11 Hijrah.


Dari peristiwa tersebut kita semua sudah sedia maklum dengan kisahnya. Namun apa yang perlu ialah mengambil iktibar dan menjadikannya pedoman dalam diri kita.

Antaranya; adakah kita sudah termasuk dalam golongan yang diberitakan tentang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka pada masa itu juga yang berulang-ulang kali hasilnya dapat dituai natijah dari berjihad fisabilillah.

Adakah kita telah terlepas dari terjebak dalam kalangan orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang. Ini kerana azab yang ditunjukkan kepada Nabi Junjungan pada malam tersebut di mana satu kaum sedang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.

Atau adakah kita telah terlepas dari golongan orang yang suka menabur fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. Golongan ini digambarkan dengan menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali.

Di sana masih banyak peristiwa yang dapat dijadikan iktibar dalam kehidupan seharian. Oleh itu, marilah saudaraku, kita renung bersama-sama dengan apa yang telah diceritakan tentang balasan azab dan nikmat yang diberikan kepada mereka-meraka yang melakukannya.

Wassalam.

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured