Mar 30, 2008

Daulat Tuanku!

Sultan dan Raja Perempuan Kelantan

Bagi seluruh rakyat kelantan sama ada di dalam dan luar negara diucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-58 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Anis Binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid, Sultan dan Raja Perempuan Kelantan.


Ya Allah Ya Tuhan ku,
Lanjutkanlah usia ke bawah

Duli Yang Maha Mulia al-Sultan dan

Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan.


"Raja Tonggak Kedaulatan Bangsa"

Jauhi Permusuhan Sesama Islam

Bismillahir rahmani rrahim...

Alhamdulillah... Syukur tidak terhingga kehadrat Allah taala.

Di sini saya ingin mengajak diri saya dan saudara seIslam agar sama-sama menjalinkan hubungan baik sesama kita, kerana kita semua adalah bersaudara dalam beragama, seperti mana dijelaskan dalam al-Quran إنما المؤمنون إخوة bermaksud "Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara".

Sebagai muslim yang mengaku bahawa Allah subhanahu wataala sebagai Tuhan, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam Pesuruh Allah serta mengakui lima rukun Islam dan enam rukun Iman, sepatutnya tiada lagi berlakunya pertelingkahan yang akan membawa kepada kehancuran agama Islam tercinta.

Di manakah letaknya ajaran yang disampaikan oleh Nabi Junjungan dalam hal-hal yang berkaitan akhlak terpuji yang lebih mementingkan kasih sayang terhadap kaum muslimin?

Apakah dengan hanya secebis masalah yang tidak dapat dirungkaikan dalam masa terdekat maka jalan yang mudah untuk menyelesaikannya dengan bermasam muka, tidak bertegur sapa yang akhirnya membawa kepada tuduh menuduh dan hina menghina sesama kita?

Wahai saudaraku! Ingatlah setiap perkara yang dilakukan akan dipersoalkan di akhirat nanti. Adakah kita sanggup berhadapan dengan mahkamah Allah taala selama beribu tahun di akhirat semata-mata untuk menyelesaikan masalah permusuhan sesama kita? Kita belum mampu menanggung dan menyelesaikan dosa-dosa yang kita lakukan di dunia ditambah pula dengan masalah permusuhan ini.

Jangan pula ada yang ingin mengapi-apikan pertelingkahan itu bagi menghangatkan bicara tentangnya.

Ikutilah akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Junjungan dalam menangani permasalahan dalam masyarakat. Di dalam al-Quran sendiri ada menerangkan bagaimana cara untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul iaitu sama-sama kembali kepada kitab Allah iaitu al-Quran dan Sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Apa yang penting ialah bersihkan jiwa dari hasutan syaitan laknatullah yang sentiasa inginkan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam.

Muhasabahkan diri sendiri agar hidup lebih tenang di samping memperbanyakkan selawat dan zikrullah....

Mar 28, 2008

Renungan Bersama...

Bismillahir rahmani rrahim…

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah subhanahu wa taala kerana dengan rahmatnya kita masih lagi dapat meneruskan kehidupan ini, walaupun di sana terdapat berita tentang ‘kembalinya’ kaum keluarga, saudara mara, sahabat handai, rakan taulan dan manusia amnya.

Namun, apa yang penting bagi kita yang bergelar hamba Allah sepatutnya terus bermuhasabah diri, menoleh kembali pekerjaan yang telah kita lakukan seharian, adakah segala pekerjaan itu memberi manfaat atau semakin memudaratkan kepada diri dan agama?

Sesungguhnya kita tidak terlepas dari melakukan dosa. Sama ada dosa kecil mahupun dosa besar, secara sengaja atau pun tidak, nyata atau tersembunyi, semuanya tetap akan diadili di SANA. Maka yang pasti, beristighfar memohon keampunan dari yang Maha Esa penghapus segala dosa.

Sekadar renungan bersama…

Mar 24, 2008

Salam Maulidur Rasul sallallahu alaihi wasallam

Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah nabi akhir zaman yang semua mengetahuinya. Saban tahun seluruh masyarakat Islam dari segenap pelusuk dunia tidak kira bangsa, warna kulit dan negara sudah pasti mengingati hari yang penuh bersejarah ini iaitu 12 Rabiul Awwal.

Maka bagi memperingati hari dan bulan tersebut berbagai aktiviti dijalankan sama ada perarakan, bacaan selawat, ceramah agama, kenduri dan sebagainya bermula dari peringkat kampung, daerah, negeri mahu pun negara tetap diadakan. Apa yang pasti, masyarakat Islam tetap mengambil inisiatif untuk memuliakan Junjungan besar Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Namun terdapat di sana beberapa pandangan berkaitan sambutan Maulidur Rasul ini. Ada golongan yang mengharuskannya atas dasar menyanjung tinggi bulan kelahiran Nabi sallallahu alaihi wasallam manakala yang lain menentang keras dengan sambutan ini.

Bagi saya, kedua-dua pandangan ini boleh diterima berdasarkan dalil-dalil yang diberikan. Saya amat menghormati setiap pandangan yang diberikan. Apa yang penting ceramah tentang sejarah Nabi Junjungan MESTI diteruskan agar masyarakat Islam tidak lalai dari mengingatinya. Jika dibandingan sejarah tentang kenabian dengan hiburan yang melalaikan, maka yang manakah masyarakat sekarang lebih mengetahui?

Akhir sekali, salam Maulidur Rasul sallallahu alaihi wasallam kepada kaum muslimin dan muslimat...
"Sentiasalah membasahi bibirmu dengan selawat dan zikrullah"...

Mar 23, 2008

Hati sedikit tenang

Alhamdulillah...

Hari ini hati saya sedikit tenang selepas dapat menerima pemergian Allahyarham Tuan Guru tercinta Tuan Guru Hj Loh lubok tapah beberapa hari yang lalu. kalau diikutkan dua hari selepas kematian Allahyarham Tuan Guru, pipi saya sentiasa dibasahi air mata bila membaca ulasan yang diberikan dari para blogger tentang riwayat Tuan Guru.

Walau pun saya sempat belajar sekali sahaja bersama Allahyarham Tuan Guru pada tahun 1994, iaitu semasa tingkatan 3, namun saya amat berterima kasih dengan ilmu yang disampaikan. Pada mulanya saya tidak dapat memahami isi ilmu balaghah, setahun selepas itu barulah saya dapat menguasai sedikit demi sedkit tentang ilmu tersebut.

Apa yang menjadi kenangan pada saya ialah isi ilmu yang disampaikan Allahyarham Tuan Guru pada pertama kali saya belajar sehingga ke hari ini ianya terpahat di minda dan saya masih ingat tentang kata-kata Allahyarham Tuan Guru tentang musyabah, musyabahbih, wajah syabah dan sebagainya.

Semoga roh Tuan Guru ditempatkan bersama para solihin dan muqarrabin... Ameeen.
Tuan Guru dalam Ingatan... Al-Fatihah.

Pengasas

Md Rozaidi Bin Abd Rahman =>
KPLI (Pend. Islam & Bahasa Arab), B.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM), M.A. (Peng. al-Qur'an & as-Sunnah) (IIUM).
Jika diizinkan Allah s.w.t., akan berusaha menyambung ke peringkat Ph.D.
insyaallah... Ameeen...
 

Featured